Koalisi: PAS tidak pernah rugi

- Advertisement -

KALAU dulu Tahaluf Siyasi. Kali ini Taawun Siyasi. Ramai orang melihat PAS sekali lagi akan rugi dalam percaturan politik berkoalisi. Kalau dinilai pada untung keduniaan, memang yang akan ternampak adalah kerugian, seperti tidak dihormati malah dipermainkan.

Namun apabila kita berpegang dengan prinsip politik Islam, apa yang diajar oleh Nabi S.A.W dengan matlamatnya bukan semata-mata dunia, tidak ada kerugian sama sekali di pihak PAS. Sedih memanglah sedih. Terkilan mungkin tidak dapat dielakkan.

Belum pun lama kita melihat bagaimana perpecahan sesama bangsa dan agama kita runtuhkan temboknya, hari ini sudah ada yang berkira-kira mahu dirikan semula tembok itu. Apa pun, bagi PAS itu bukanlah kerugian selagi mana kita terus berpegang dengan prinsip, komitmen dan inisiatif kita untuk menyatukan ummat satu bangsa dan satu agama di tanah air ini

- Advertisement -

Ini sangat penting bagi memastikan ketuanan dan dominasi kita — malah boleh dibaca sebagai survival dalam situasi masa kini —  tidak terancam sebagaimana yang pernah berlaku dalam tempoh 22 bulan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Kalaulah perpecahan ini berlaku lagi, yang rugi adalah mereka yang meninggalkan landasan ini. Mereka yang sudah berada di laluan yang benar, mereka yang pernah mengakui kekhilafan dan sama-sama berjanji akan memperbetulkan kesilapan. 

Mereka yang pernah melihat kesan perpecahan yang telah meletakkan nasib bangsa dan agama umpama ‘telur di hujung tanduk’. Mereka yang suatu ketika dahulu pernah bersama-sama dengan kita berikrar dan berpiagam mahu sama-sama menjaga agama, bangsa dan negara supaya tidak lagi terancam.

Ironinya, apabila diperlihatkan dengan kemilau kuasa yang baru sekadar bayangan, mereka lupa diri.Tingkah laku mereka tidak ubah seperti ‘anjing dengan bayang-bayang’. Justeru dalam keadaan ini, tidak ada rugi bagi PAS. Ujian kesetiaan dalam permuafakatan politik, pada bila-bila masa boleh mengubah keadaan namun PAS tidak pernah rugi selagi membawa Islam sebagai dasar perjuangan. Ia sebenarnya akan lebih mematangkan PAS terutama pemimpin-pemimpin muda parti.

Bagi tonggak seperti Presiden, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, inilah masanya untuk segala ilmu, pengalaman dan kepakaran beliau ditagih bagi mengemudi haluan politik tanah air ke arah yang betul demi menjamin pelayaran bahtera bernama Malaysia sampai ke destinasinya dengan selamat.

Sebab itulah, dalam apa keadaan pun, Tuan Guru Presiden PAS terus konsisten menerbitkan hasil penulisan ilmiah yang baharu hampir saban minggu sama ada dalam bentuk buku bercetak ataupun e-book mengongsi pengalaman beliau berhadapan dengan situasi ini dari perspektif keilmuan yang dinamik. 

Jadi, tidak ada kerugian bagi pihak PAS walaupun apa yang kita harapkan sudah tentu bukan seperti ini. Yang rugi adalah mereka yang lari meninggalkan permuafakatan untuk kembali kepada perpecahan, lari meninggalkan apa yang diperintah oleh Allah S.W.T kepada apa yang dilarang.

MUHAMAD MAT YAKIM
Ahli PAS seumur hidup – HARAKAHDAILY 27/3/2021

- Advertisement -