‘Saya tidak ugut Kerajaan Pulau Pinang’

Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Tidak bermaksud mengugut Pulau Pinang namun perlu bersedia sekiranya terpaksa menyedut air selut apabila projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dilaksanakan di Sungai Muda pada tahun ini, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

“Saya tidak mengugut Kerajaan Pulau Pinang tetapi satu peringatanlah kerana Kedah akan melaksanakan projek TAPS di Sungai Muda tahun ini,” ujar beliau.

Menurutnya, projek 14 TAPS itu akan dibina untuk menakung air bagi menstabilkan paras air Sungai Muda ketika musim kemarau.

Katanya, apabila projek itu dilaksanakan air Sungai Muda akan ditakung ketika banyak manakala setiap daripadanya mempunyai kawasan takungan besar dengan kedalaman 20 hingga 30 meter serta lebar sehingga satu kilometer.

- Advertisement -

“Ketika air sungai banyak ia jernih dan laju, tetapi apabila air perlahan dan tinggal sedikit akan jadi berselut.Siapa biasa mandi sungai akan tahulah macamana,” ujarnya ketika sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.  

Ekoran itu, kata beliau, Pulau Pinang perlu bersedia dengan keadaan itu kecuali sekiranya ada sepakatan dengan Kedah berkenaan tuntutan royalti air yang dikemukakan.

“Kita kena rancang untuk elakkan mereka minum air selut atau kelebur (lumpur) tapi jika tak mau pakat dan tak mau buat bayaran caj air mentah, kita kena rancang untuk kita sahajalah,” ulasnya lagi.

Namun begitu pihaknya sentiasa mengalu-alukan perbincangan untuk menentukan kadar caj bekalan air mentah yang perlu dibayar kerajaan DAP itu kepada Kedah.

“Kita bukan tidak mahu bagi air, tetapi kena bayarlah sebab kita ada kos penyelenggaraan untuk kawasan tadahan,” katanya.

Sementara itu projek TAPS di bawah peruntukan Kementerian Sumber Air dan Alam Sekitar (KASA) bukanlah untuk kegunaan penduduk Kedah sahaja tetapi ia juga sebagai sumber pengairan pertanian berikutan negeri ini mengeluarkan 42 peratus padi negara.

Sanusi juga berkata, kerajaan negeri akan membina baraj baharu untuk memastikan pam Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak tergantung ketika musim kemarau berikutan paras air kekurangan.

“Dulu masa buat projek tebatan banjir kelebaran sungai ditambah menyebabkan paras air turun.

“Projek itu tidak disekalikan dengan menjajarkan semula kedudukan pam di sepanjang Sungai Muda. Bila paras air menyusut kedudukan pam akan tergantung,” tambah beliau.

Berikutan itu, selepas paras air Sungai Muda dapat distabilkan, kapasiti pengaliran air dari sungai itu akan dapat dikawal pada masa depan. – HARAKAHDAILY 24/3/2021

- Advertisement -