Adakah Melayu-Islam sudah lupa?

- Advertisement -

JIKALAU kita masih ingat ketika PH berkuasa selama 22 bulan, perpaduan ummah merupakan agenda utama yang diusahakan secara bersama PAS dan Umno sehingga lahirnya Muafakat Nasional (MN). 

Ianya bukanlah kerja yang mudah untuk menyatukan musuh tradisi zaman-berzaman. Agenda perpaduan ummah ini tidak boleh dihentikan mahupun dilupakan tatkala kita sudah memegang tampuk kuasa melalui penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Muafakat Nasional itu apa matlamat utamanya? Demi menyatukan umat Islam secara khususnya maka ia tidaklah boleh terhad secara eksklusif hanya untuk PAS dan Umno sahaja. Rakan kita BERSATU yang sudah meninggalkan Pakatan Harapan – DAP itu tidaklah boleh dikesampingkan peranan mereka. 

- Advertisement -

Tanpa dia dan tanpa kita maka tidaklah lahir Kerajaan PN yang ada hari ini.

Antara watak teraju utama yang berperanan penting dalam menyatukan dan memperkukuhkan Kerajaan PN pada hari ini tidak lain dan tidak bukan ialah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Tokoh yang begitu terkenal dengan peranan dan pengalaman sebagai perunding, pendamai dan mediator sehingga ke peringkat Antarabangsa diiktiraf peranan beliau.

Tuan Guru Presiden PAS antara insan yang memang rajin menulis, lihat sahaja karya artikel dan buku yang dikarang oleh beliau sendiri. Antara karya yang secara konsisten beliau terbitkan ialah Artikel Minda Presiden PAS. Pada setiap minggu pasti akan ada sekurang-kurangnya satu Artikel Minda Presiden PAS yang disiarkan di halaman Facebook beliau. Daripada artikel yang beliau tulis itu, kita akan dapat fahami, tekuni dan telusuri apa pendirian dan respons balas Tuan Guru terhadap isu semasa yang sedang melingkari negara mahupun Antarabangsa.

Terbaru artikel Minda Presiden PAS yang diterbitkan pada pagi semalam yang bertajuk ‘Perpaduan Ummah: Perpaduan Islam dan Perpaduan Manusia’. Tuan Guru menerangkan dengan lebih terperinci berkenaan agenda Perpaduan Ummah. Beliau menyatakan para ulamak membahagikan konsep umat kepada dua kumpulan:

PertamaUmmah Ijabah, dinamakan kepada mereka yang menganut Islam tanpa paksaan.

KeduaUmmah Dakwah iaitu seluruh kelompok manusia, termasuklah daripada kalangan bukan-Islam. Walaupun berbeza agama dan fahaman, namun mereka diajak untuk bernaung di bawah Islam yang adil kepada semua dan bersikap rahmat kepada seluruh alam yang menjadi tujuan kerasulan akhir zaman.

Surah al-Hujurat menunjukkan ‘Road Map’ Perpaduan Ummah yang paling unggul mengikut petunjuk Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W menegakkan negara dengan mendahulukan konsep perpaduan rakyat dalam masyarakat majmuk, bermula dengan menyatukan umat Islam.

Misi perpaduan ummah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W setelah berjaya mengumpulkan orang-orang yang memeluk Islam dan beriman di Makkah. Begitu juga selepas berjaya berdakwah dan mengIslamkan suku Aus dan Khazraj yang menetap di Madinah serta beberapa suku kaum yang kecil dan beberapa orang individu.

Maka, Allah S.W.T menegaskan konsep perpaduan dengan mendahulukan dalam kalangan umat Islam terlebih dahulu, sebagaimana yang disimpulkan oleh firman-Nya:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudara kalian itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kalian mendapat rahmat.”

(al-Hujurat: 10)

Kemudian ayat seterusnya menegaskan bahawa hubungan seluruh manusia dalam masyarakat majmuk merupakan ciri kemanusiaan secara naluri. Perkara ini dinyatakan melalui firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian dalam pelbagai bangsa dan bersuku-suku, supaya kalian saling berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya, semulia-mulia manusia dalam kalangan kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa antara kalian, (bukan yang lebih dari sudut keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(al-Hujurat: 13)

Rasulullah S.A.W memulakan langkah perpaduan umat Islam yang menjadi tonggak bagi memimpin manusia. Baginda S.A.W menggabungkan golongan yang beriman dan diperintah untuk berhijrah ke Madinah iaitu golongan Muhajirin dengan suku Aus dan Khazraj yang menetap di Madinah dinamakan Ansar.

Mereka disatukan dengan perpaduan sesama Islam berteraskan prinsip persaudaraan iman, yang menghapuskan kebanggaan diri, fanatik perkauman dan kekeluargaan yang menjadi kebanggaan bagi bangsa Arab.

Seterusnya perpaduan itu disertai oleh golongan bukan-Islam yang terdiri daripada kaum Yahudi, Kristian, Majusi dan lain-lain yang bersedia berada di bawah kepimpinan Islam. Perpaduan tersebut dimeteraikan melalui satu perjanjian yang dinamakan dengan Sahifah Madinah. Kemudian secara rasmi nama Yathrib atau Taibah diubah kepada Madinah. Perubahan nama yang sinonim dengan pembentukan masyarakat madani. Masyarakat wajib menegakkan negara (politik) yang dipimpin oleh Islam. Negara yang berkebajikan kepada semua, bercirikan iman, Islam, ihsan, berdaulat dan berwawasan akhirat

Seterusnya, Tuan Guru menyorot sejarah awal kemerdekaan tanah air ini daripada penjajahan British yang mewujudkan masyarakat majmuk yang bertujuan negatif pada permulaannya. Tujuan mereka untuk mengadu domba rakyat bagi menjana kekuatan politik mereka dan melangsungkan agenda Kolonialisme politik serta ekonomi. 

Ketika Pilihan Raya Umum 1955, Parti Perikatan yang terdiri daripada gabungan parti Umno, MCA dan MIC telah berjaya membentuk kerajaan. PAS merupakan satu-satunya parti pembangkang yang ada pada ketika itu. 

Antara dasar Perlembagaan Persekutuan yang telah digubal dengan satu asas masyarakat majmuk yang berteraskan tiga perkara berikut:

(a) Islam agama bagi Persekutuan dan menerima hak penganut agama lain.
(b) Hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang mendominasi masyarakat majmuk.
(c) Menerima hakikat kewujudan kaum lain.

Pada masa yang sama, termeterainya satu perjanjian yang bersifat kontrak sosial yang mengandungi konsep umum yang boleh dilakukan pembaharuan dan penambahbaikan. 

Di penghujung artikel Minda Presiden PAS, Tuan Guru menegaskan berkenaan perkara yang terpenting sekarang ialah menyatukan parti-parti Melayu – Islam yang mempunyai titik persamaan terhadap konsep Perlembagaan, dan juga parti bukan-Islam yang tidak ekstrem dan bersama menerima asas Perlembagaan.

Maka, dengan tegas semua parti yang merancang ke arah merungkaikan prinsip Perlembagaan yang nyata bersifat ekstrem terhadap Islam dan kepimpinannya mesti ditolak. Dan sekali-kali tidak mengiktiraf mana-mana parti yang bersekongkol bersama kelompok tersebut.

Tuan Guru menyebut bahawa perpaduan ummah inilah gabungan baru yang diusahakan dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN) dan penganjuran Kongres Maruah Melayu, secara khusus telah menggabungkan tiga parti Melayu-Islam iaitu Umno, PAS dan BERSATU. Kemudian disertai oleh parti Bumiputera majmuk Sarawak dan Sabah serta parti bukan-Islam yang tidak ekstrem dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Tuan Guru menyatakan dengan terang dan jelas bahawasanya matlamat kita ialah menjayakan agenda besar perpaduan ummah dalam kalangan mereka yang mempunyai persamaan konsep, bukan hanya terhad kepada parti tertentu atau kaum tertentu, dan jauh sekali semata-mata untuk kepentingan orang tertentu.

Tuan Guru menyeru kita semua menolak pihak yang menunjukkan tanda-tanda hendak merungkai asas penting daripada petunjuk Islam yang telah wujud dalam Perlembagaan, sehingga mereka bermatlamat untuk meminggirkan Islam dan kepimpinan Islam.

Tuan Guru mengajak kita merujuk kepada petunjuk berpandukan al-Quran yang diwahyukan daripada Allah S.W.T. Adapun teladan kita pula ialah Rasulullah S.A.W, bukan mengambil contoh daripada ciptaan asing yang disifatkan dengan falsafah dan semuanya berakhir dengan menyampah.

Tuan Guru turut menasihati kita agar belajarlah dengan al-Quran, bukan belajar dengan media sosial yang berakal bebal tanpa petunjuk Ilahi. Media kini lebih digunakan menjadi senjata musuh yang menyesatkan kita daripada jalan Allah. Bahkan banyak yang bergelumang dengan dosa, kerana dosa dan pahala tiada lagi dalam perhitungan mereka.

SYED AHMAD FADHLI – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -