KUALA LUMPUR: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menyeru semua umat Islam di negara ini agar memelihara maruah diri dan agama serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat.
Ia susulan kenyataan terbuka seorang artis yang mendakwa dirinya seorang transgender dan menzahirkan rasa bangga menjadi seorang pondan serta kenyataan ‘Muhammad Sajjad’ atau ‘Nur Sajat’ yang memberitahu kepada umum dirinya berniat untuk menukar agama.
Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr Luqman Abdullah berkata pihaknya memandang serius kenyataan itu yang dilihat memberikan kesan yang mendalam terhadap umat Islam di negara ini.
Malahan, katanya menimbulkan kekeliruan segelintir masyarakat yang mula beranggapan bahawa perbuatan itu adalah normal serta tidak menyalahi agama sekali gus dibimbangi akan membuka kepada pintu-pintu keburukan yang lain.
“Sehubungan itu, pihak PMWP ingin menasihatkan kepada seluruh umat Islam di negara ini
supaya sentiasa memelihara maruah diri masing-masing terutamanya dengan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kepada umum.
“Dalam Islam, setiap percakapan yang mengundang keburukan sama ada ke atas diri sendiri ataupun orang lain, akan dinilai sebagai suatu dosa di sisi Allah.
“Rasulullah s.a.w turut mengingatkan kepada setiap umat Islam agar memelihara lidah masing-masing daripada menyebut perkataan-perkataan yang buruk ataupun boleh membuka keaiban diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Luqman menasihati pihak yang mendedahkan keaiban mereka kepada supaya kembali terhadap larangan yang telah ditegaskan oleh Allah dengan memetik ayat ke-11 surah al-Hujurat; “Dan janganlah setengah kamu menyatakan celaan (keaiban) setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk”.
“Manakala bagi mana-mana individu yang terlintas dalam hati mereka untuk menukar agama, kami ingin mencadangkan kepada mereka supaya bertenang, berehatlah seketika daripada kesibukan, pergilah mencari ketenangan diri, renunglah kembali dosa-dosa silam yang pernah dilakukan, lafazkanlah istighfar berulang kali, berdoa, bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT,” ujarnya.
Lantaran itu, beliau menggesa semua pihak agar menghormati norma masyarakat di negara ini yang sentiasa memelihara memelihara tatasusila serta kesopanan dalam perbezaan gender di antara lelaki dengan wanita.
Selain itu, mengingatkan umat Islam agar menghormati perlembagaan serta undang-undang yang telah ditetapkan khususnya yang berkaitan dengan jenayah Syariah.
“Marilah sama-sama kita memelihara maruah diri kita sebagai umat Islam. Janganlah kita bersikap mementingkan diri sendiri dengan sewenang-wenangnya melakukan perkara-perkara yang boleh membuka keaiban diri sendiri sehingga mendatangkan fitnah kepada agama,” serunya lagi. – HARAKAHDAILY 3/3/2021