Tiga penjuru PRU15 akan ulangi situasi PRU14

PASIR MAS: Pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang tidak mampu dinafi boleh menyebabkan sekali lagi sokongan pengundi Melayu berpecah.

Malah berdasar banyak kajian ia boleh mengulangi apa yang berlaku pada PRU14, di mana undi Melayu akan mengalir kepada Umno, PAS dan Bersatu (Pakatan Harapan) ketika itu.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebaik mungkin perlu dielakkan pertembungan tiga penjuru dengan mengulangi apa yang berlaku pada PRU lepas.

Bagaimanapun beliau yakin Umno dan Bersatu dapat menyelesaikan masalah tersebut sebaik mungkin menjelang PRU15 nanti.

Advertisement

“Kita mahu apabila masuk PRU15 ada kekuatan baharu bagi orang Melayu dan Islam. Itu penting buat masa sekarang.

“Lupakan dahulu politik kepartian, pastikan Melayu Islam diutamakan untuk berada di arus perdana politik di negara ini,” katanya di sini.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin bimbang pertembungan tiga penjuru boleh merugikan ummah di negara ini.

Oleh itu, beliau berharap Umno dan Bersatu berunding sebagai persiapan awal untuk menghadapi PRU15 dengan nekad hanya berlaku pertembungan dua penjuru.

Baru-baru ini, media dan portal berita membayangkan Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno di Janda Baik, Jumaat lepas.

Bagaimanapun maklumat itu dinafikan Jabatan Komunikasi Strategik Penerangan Umno dengan menyifatkan parti itu memandangkan serius berkaitan berita yang tular hasil keputusan mesyuarat MKT.

Baru-baru ini, Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) mendedahkan kajian gabungan PN dan BN mampu meraih sehingga 162 kerusi parlimen pada PRU15 dengan syarat hanya berlaku pertembungan dua penjuru. – HARAKAHDAILY 24/2/2021