Sidang parlimen: Malaysiakini cuba kelirukan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan laporan Malaysiakini yang cuba mengelirukan rakyat mengenai desakan ahli parlimen negara ASEAN menggesa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mengadakan sidang parlimen.

- Advertisement -

Menurut portal berita tersebut, “Sejumlah 90 Ahli Parlimen daripada tujuh negara ASEAN menggesa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri untuk membenarkan Parlimen bersidang tanpa sekatan secepat mungkin”.

“Bilangan 90 ahli parlimen yang disebutkan adalah salah kerana 25 daripada mereka yang menandatanganinya bukanlah ahli parlimen tetapi merupakan mantan ahli parlimen,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad dalam kenyataan, hari ini

Selain itu, jelasnya lapan daripada nama yang disenaraikan merupakan Ahli Parlimen Timor Leste yang tidak termasuk dalam negara ASEAN.

“Kenyataan ini juga tidak mewakili pendapat kerajaan negara-negara tersebut tetapi sekadar mewakili pendapat Ahli Parlimen pembangkang mereka,” katanya lagi.

Sedangkan, ujar beliau pelaksanaan Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah menepati garis panduan darurat yang diperkenalkan oleh Office of the High Commissioner, United Nations Human Rights, pada 27 April 2020.

Sebagai catatan, beliau berkata kumpulan ahli parlimen di bawah ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR) yang menggesa untuk diadakan sidang Parlimen tersebut dipengerusikan oleh Charles Santiago, Ahli Parlimen DAP.

“Adakah ini juga satu petanda bahawa tindakan ahli-ahli parlimen pembangkang negara-negara tersebut didorong oleh ahli parlimen pembangkang negara kita yang mahu mengkritik dan mencemarkan imej kerajaan sahaja?” kata beliau.

Justeru, ujar beliau PAS berharap agar setiap portal berita, walau apa sekalipun kecenderungan politiknya, tidak cuba mengelirukan rakyat dan menjaga etika pemberitaan, terutama di waktu darurat begini. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -