Tawaran rasuah: Terperangkap jerat sendiri?

Tawaran
- Advertisement -

BEKAS Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, wajar dipuji kerana pendedahan beliau dalam akhbar Berita Harian dan New Straits Times hari ini mengenai kisah beliau pernah menolak tawaran percutian kelas pertama di Eropah oleh sebuah syarikat kartel daging import ketika baru beberapa bulan dilantik ke jawatan berkenaan.

Begitupun, lebih terpuji lagi jika sekiranya beliau terus melaporkan tawaran percutian kelas pertama di Eropah ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebaik sahaja beliau menyedari bahawa ini adalah percubaan untuk merasuah beliau selaras dengan peruntukan yang ada dalam Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 mengenai kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan.

- Advertisement -

Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ini adalah berbunyi: ‘Mana-mana pegawai badan awam yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan, apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan Akta ini hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu, berserta dengan nama, jika diketahui, orang yang memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan, itu kepadanya kepada pegawai Suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir.’

Malah, Seksyen 25 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ini juga memperuntukkan bahawa kegagalan untuk melaporkan transaksi penyogokan sebenarnya adalah suatu kesalahan yang ‘apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya’.

Kini berdepan tekanan

Seronok juga membaca berita mengenai seruan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, supaya Salahuddin membuat laporan mengenai tawaran percutian kelas pertama kepada beliau.

Salahuddin mungkin boleh buat tidak tahu bila yang membuat seruan begini adalah saya, tetapi mampukah beliau berdiam diri lagi bila yang membuat seruan sama adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri?

Apatah lagi bila Pengerusi UMMAH Kedah, Noor Hakimi Abdul Halim, telah membuat laporan meminta polis menyiasat Salahuddin atas kesalahan gagal melaporkan tawaran rasuah kepada beliau.

Perlu diingatkan, jika disabitkan di mahkamah di bawah Seksyen 25(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Salahuddin boleh hilang jawatan MP dan ADUN-nya kerana hukuman yang boleh dikenakan adalah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Hairan juga Salahuddin ini, PAN katanya berlambak ada peguam yang hebat, termasuk anaknya, Siti Fatihah, dan mantan Setiausaha Politiknya, Ahmad Sabki, takkanlah tiada seorang pun peguam KANUN yang peka hal begini?

Gagal lapor rasuah: Semoga tiada double standard dalam hukuman

Pada 2 Disember 2020 lalu, ekoran kegagalan mereka melaporkan tawaran rasuah yang hanya bernilai antara RM200 hingga RM600, tiga kakitangan Kementerian Kewangan, iaitu Pembantu Tadbir (Kewangan), Nurul Ashikin Zulkaflee, Madiyana Mamat (Penolong Akauntan), dan Azad Fadhmi Abdul Rahman (Penolong Akauntan), dihukum denda RM1,500 manakala dua lagi rakan mereka, iaitu Siti Nurkhairunnisa Adnan (Penolong Akauntan) dan Mohd Fairus Hussin (Penolong Pegawai Tadbir), dihukum denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bayangkanlah apa hukuman yang boleh dikenakan kepada seorang yang berjawatan jauh lebih tinggi dan bergelar mantan menteri seperti Datuk Seri Salahuddin Ayub yang gagal melaporkan tawaran rasuah yang bernilai jauh lebih tinggi seperti percutian kelas pertama di Eropah ini?

Adilkah kepada lima kakitangan Kementerian Kewangan ini jika seorang yang berjawatan jauh lebih tinggi dan bergelar mantan menteri yang gagal melaporkan tawaran rasuah yang bernilai jauh lebih tinggi tidak dihukum tetapi mereka dihukum sedangkan mereka hanyalah ‘ikan bilis’?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 11/2/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -