Kedah bantu sekolah persendirian Cina, SRJKT

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tiga buah sekolah menengah persendirian Cina menerima sumbangan RM100,000 daripada Kerajaan Negeri Kedah.

Tiga buah sekolah itu ialah Sekolah Menengah Sin Min (Persendirian) Alor Setar, Sekolah Menengah Sin Min (Persendirian) Sungai Petani, dan Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian) Alor Setar.

Majlis penyerahan replika cek oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, diadakan selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, semalam.

- Advertisement -

Menurut Sanusi, bantuan tersebut membuktikan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah adil kepada semua kaum di negeri ini.

“Tuduhan kerajaan sekarang mendiskriminasikan atau bersikap tidak adil kepada kaum lain, tidak benar sama sekali.

“Kerajaan bertindak mengikut hak-hak semua kaum yang terdapat di dalam Perlembagaan negara,” jelas beliau.

Dalam majlis yang sama, Sanusi turut menyerahkan surat kebenaran pendudukan secara percuma kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Sungai Ular, Kulim.

Tanah seluas 1,107 ekar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) itu perlu diperbaharui pendudukan setiap tiga tahun sekali.

“Sebelum ini sekolah berkenaan membayar sebanyak RM163,000 untuk tempoh 30 tahun kepada PKNK tetapi selepas ini pendudukan itu dibenarkan secara percuma,” ujar Adun Jeneri itu lagi.

Sebelum itu, perkara tersebut dibincangkan bersama Lembaga Pengarah PKNK dan keputusan itu disambut baik pihak berkenaan. – HARAKAHDAILY 11/2/2021

- Advertisement -