Rakyat positif terima proklamasi darurat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia ingin menyuarakan rasa bersyukur dengan maklum balas positif daripada rakyat selepas pelaksanaan proklamasi darurat yang telah diisytiharkan pada 12 Januari lalu.

Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, rakyat ternyata tenang dengan keputusan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana yakin tuanku sangat mengutamakan kesejahteraan dan kesenangan hidup rakyat.

- Advertisement -

“Keadaan ini dapat dilihat apabila bantahan dari rakyat jelata tidak kelihatan di mana-mana media sosial mahupun bantahan di jalanan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malahan, katanya daripada undian yang diperolehi daripada telegram Majlis Keselamatan Negara juga 84 peratus menyokong pelaksanaan proklamasi darurat.

Beliau menambah, rakyat ternyata mahu bekerjasama dalam usaha melandaikan graf Covid-19 yang menaik sejak awal bulan Januari tahun ini.

“Pelbagai usaha dilakukan bersama dalam menghadapi masalah akibat pandemik ini,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, pengumuman kerajaan berkenaan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) juga berjaya menambat hati rakyat agar terus tenang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan seluruh Malaysia kecuali Sarawak.

Tambahnya, ternyata biarpun diberi kuasa yang besar, kerajaan tidaklah menggunakannya untuk menindas rakyat.

“Semoga kita semua sama berusaha mengatasi bencana Covid-19 yang melanda negara ini sebagai sebuah pasukan.

“Apa yang perlu kita melakukan tugas yang diberikan kepada kita sebaiknya demi kebaikan bersama tanpa mementingkan diri,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa sifat mementingkan diri dan kelompok sendiri boleh menggagalkan usaha tersebut. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -