DAP ekstrem, campuri urusan orang Islam

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tetap berpendirian teguh untuk terus menolak dan menentang kerjasama dengan DAP.

Ini, jelasnya disebabkan sikap DAP yang ekstrem serta suka mencampuri urusan orang Islam.

Advertisement

Beliau berkata, sikap itu sebenarnya sudah ditunjukkan parti berkenaan ketika bersama dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Pengalaman kita dengan DAP, dia sering kali campur tangan dalam urusan untuk pelaksanaan (hukum Islam), padahal ia hanya melibatkan orang Islam.

“Bila kita hendak laksanakan hukum Islam mereka gelabah. Mereka tidak setuju padahal kita tidak ganggu hidup mereka tetapi mereka ganggu hal kita.

“Jadi sebab itu kita tolak kerjasama dengan DAP dan menolak kawan-kawan yang kita rasa yang mesra dengan DAP,” ujarnya pada program Bual Bicara Minda Profesor Negara ‘Bicara Negarawan’ Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita? yang disiar secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara (MPN) pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kerjasama antara PAS dan DAP ketika dalam Pakatan Rakyat yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini hanya bersifat untuk mendapat kemenangan Pilihan Raya Umum (PRU) semata-mata.

“Bila sampai hendak realisasikan perlembagaan terdapat percanggahan oleh DAP, contohnya kita hendak tegakkan Islam dalam perlembagaan, mereka gelabah,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2021