Kesabaran rakyat amat luar biasa – Prof Madya Dr Anuar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis Politik dan Ekonomi, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mohamed menasihati pemimpin politik supaya mencontohi rakyat iaitu bersabar sehingga reda Covid-19.

“Saya tengok kesabaran rakyat itu amat luar biasa daripada berlakunya krisis politik daripada Februari tahun lepas sehinggalah apa yang berlaku di negeri Perak, kita dapati kesabaran rakyat begitu bagus sebenarnya,” katanya.

- Advertisement -

Menurut beliau, pada ketika ini politik bergantung kepada kesihatan, selagi isu kesihatan tidak selesai, selagi itu darurat ini akan diteruskan atau berakhir pada 1 Ogos atau berkemungkinan diteruskan sekiranya keadaan kesihatan itu masih tidak dapat diselesaikan.

“Saya mendoakan dan berharap bahawa krisis kesihatan dapat di pulihkan dengan segera.

“Sebaik sahaja krisis kesihatan dapat dipulihkan, Perdana Menteri akan memberikan nasihat sama ada boleh (selamat) atau tidak dilaksanakan pilihan raya umum di laksanakan kerana kita tidak mahu situasi pasca pilihan raya negeri Sabah berlaku di peringkat persekutuan,” jelasnya.

Mengulas lanjut Prof Madya Dr Anuar berkata, tempoh hari pilihan raya di negeri Sabah melibatkan kurang lebih satu juta sahaja pengundi tetapi pilihan raya di peringkat persekutuan ia melibatkan 14 atau 15 juta sekurang-kurangnya pengundi.

“Tentu sekali kerajaan ataupun jawatankuasa bebas itu perlu memastikan bahawa 14 atau 15 juta yang turun mengundi ini selamat untuk mengundi,” katanya pada bual Bicara Harakah bertajuk Darurat Kesihatan Atau Darurat Politik? di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, melihat bahawa sama ada darurat ini dapat ditamatkan lebih awal atau dilewatkan bergantung kepada sejauh mana kerajaan dapat mengatasi isu kesihatan itu sendiri.

“Khususnya melibatkan bilangan jangkitan Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah menyebut bahawa kemungkinan mengambil masa tiga bulan untuk mengurangkan lengkuk kes Covid-19 itu sendiri.

“Jadi kita boleh menjangkakan bahawa ia akan mengambil masa dan melihat negara-negara lain juga sebagai contoh Tokyo telah diisytiharkan darurat.

“Kalau kita lihat kronologi di Jepun sebelum ini sudah berlaku darurat dan diangkat sementara kemudian darurat semula. Minggu lepas di Tokyo difahamkan bahawa ada beberapa buah bandar lagi akan diisytiharkan darurat di Jepun contohnya Kyoto dan juga di Osaka itu sendiri,” ujarnya.

Prof Madya Dr Anuar berkata, melihat situasi di peringkat global dan juga situasi di Malaysia ini jika diambil pandangan berkemungkinan akan mengambil masa.

“Kita berharap selepas adanya vaksin insya Allah bulan empat nanti umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan. Saya mengharapkan keadaan lebih baik selepas itu dan jika kes Covid-19 dapat diredakan maka pilihan raya umum boleh diadakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/1/2021

- Advertisement -