Bukan keputusan rasmi parti – Ismail Sabri

Keputusan Umno Kelantan tarik sokongan terhadap PN hanya diketahui melalui media

- Advertisement -

KOTA BHARU : Tindakan Umno Kelantan yang mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya diketahui melalui media, kata Naib Presiden Umno, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya beliau yakin isu tersebut akan dibincangkan di peringkat tertinggi parti dalam Perhimpunan Agung Umno pada 31 Januari ini, berikutan hubungan dingin antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

- Advertisement -

Umno mempunyai dasar rasmi yang perlu diikuti semua pendokong parti, bahkan beliau menyifatkan perbuatan yang diketuai oleh Pengerusi Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub bukan lagi keputusan rasmi parti.

“Saya tidak boleh ada pendirian sendiri dalam parti, kita mesti ada pendirian parti, kalau saya buat pendirian peribadi, ia sudah jadi pandangan peribadi bukan parti, apa yang berlaku melibatkan parti mesti diputuskan parti.

“Saya hanya tahu melalui media sahaja, saya tidak tahu sama ada ini sudah dibincangkan dalam Badan Perhubungan Umno Kelantan dan sebagainya, jadi kita tidak tahu, ini mungkin akan dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan barangan bantuan kepada mangsa banjir yang melibatkan 11 kawasan parlimen Kelantan di Dewan Hamid Bidor, Kem Pengkalan Chepa di sini, pada Ahad.

Turut hadir Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Seri Muez Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Lapan Briged, Zamsari Abu Hasan dan wakil pemimpin tempatan, Akbar Salim.

Pada Sabtu, Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang mengumumkan menarik bersama 12 Bahagian Umno Kelantan dari menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, keputusan itu dilakukan tanpa hasutan daripada mana-mana pihak, malah dibuat atas dasar memperjuangkan prinsip serta dasar Umno dan Barisan Nasional (BN), bukannya kepentingan peribadinya.

Ia merupakan satu lagi siri pengumuman terbuka kepimpinan Umno Kelantan terhadap kerajaan PN yang sebelum ini didahului oleh pimpinan veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. – HARAKAHDAILY 10/1/2021

- Advertisement -