PAS kekal pendirian kukuhkan Perikatan Nasional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS kekal dengan pendiriannya untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) yang telah terjalin membentuk kerajaan hari ini.

Menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, walaupun berlaku pergeseran antara dua parti besar itu, Umno dan Bersatu, PAS tetap mahu mempertahankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua negara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diumumkan nanti.

- Advertisement -

“Kita telah membina PN, kita nak kukuhkan PN, nak kukuhkan lagi, bukan nak roboh, kita nak kukuhkan lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pihak media berhubung nasihat veteran politik negara, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatannya berikutan pergeseran antara Bersatu dan Umno.

Sebelum ini, Presiden PAS telah mengadakan pertemuan empat mata secara tertutup bersama Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Difahamkan, pertemuan itu adalah bagi membincangkan perkembangan terkini politik semasa terutama membabitkan kedudukan dalam kerajaan pn dan kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Pendirian dan kedudukan Umno dalam kerajaan PN sekali lagi menimbulkan persoalan apabila 142 Ketua Bahagian Umno di seluruh negara menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU ke-15.

Hampir semua Ketua Bahagian mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid dipercayai bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.

Ia susulan Mesyuarat Bahagian parti itu yang berlangsung hujung minggu lalu mengusulkan supaya Umno tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.

Langkah itu diperkukuhkan lagi dengan keputusan Ahli Parlimen Machang, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakob yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Difahamkan, peletakan jawatan itu berkait dengan polemik politik yang berlaku ketika ini khususnya membabitkan hubungan kerjasama antara Umno, Bersatu serta PN.-HARAKAHDAILY 8/1/2021

- Advertisement -