PAS, Umno, BERSATU perlu seiring hadapi PRU15

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tiga parti utama yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu seiring menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk mewuujudkan sebuah kerajaan yang kukuh.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata PAS, Umno dan BERSATU perlu diperkuatkan di semua peringkat di seluruh negara bagi menghadapi PRU-15.

“Kalau kita nak menjadi kerajaan yang gagah, pilihan raya akan datang perlu ada kerjasama yang mantap antara PAS, Umno dan BERSATU.

“Pengalaman sekarang kita mengakui kerajaan tidak stabil kerana jumlahnya (majoriti) kecil,” ujarnya kepada media selepas mesyuarat Exco di MABNA, MBI di sini hari ini.

Kerajaan PN dibentuk pada awal Mac lepas ekoran kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang berikutan krisis dalaman merebut jawatan Perdana Menteri.

Krisis tersebut berlaku apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak sabar untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Penyokong Anwar dalam banyak kenyataan menyifatkan Dr Mahathir berhelah daripada menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar biarpun sudah dipersetujui pada peringkat dasar.

Konflik yang berlaku itu akhirnya menyebabkan BERSATU keluar daripada PH dan kumpulan Dato’ Seri Azmin Ali pula meninggalkan PKR.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan bagaimanapun turut melahirkan rasa syukur memandangkan sebahagian besar hubungan antara ketiga-tiga parti dalam PN khususnya di Kelantan terjalin erat.

“Setakat ini pertemuan antara sayap parti sedang berjalan dan hubungan yang terjalin itu secara formal dan tidak formal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/12/2020

- Advertisement -