Sangkaan murtad: Jangan dihukum sebarangan

Berikutan isu tular mengenai perkahwinan atlet hoki wanita Melayu dan lelaki Sikh

KUALA LUMPUR: Semua pihak dinasihati agar tidak membuat sebarang kesimpulan dan tindakan pramatang dalam menangani isu yang tular mengenai status perkahwinan dan agama atlet hoki wanita dari Johor, Illi Najwa Anuar Saddique.

“Saya telah menitahkan agar semua usaha yang perlu, dibuat oleh pihak berkuasa Agama Islam Negeri Johor untuk memastikan keabsahan terkini status wanita tersebut sama ada melalui ahli keluarganya dan juga menerusi Kedutaan Malaysia di India.

Advertisement

“Saya percaya kita semua akan dapat memastikan kesahihan berita tersebut dalam tempoh terdekat,” titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi baginda.

Baginda juga berkeyakinan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan bantuan yang perlu kepada wanita berkenaan bagi mengekalkan akidahnya.

“Wanita itu sedang melalui satu proses penghakiman melalui platform media sedangkan beliau tidak pun setakat ini mengisytiharkan beliau ingin keluar daripada agama Islam,” titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah amat penting bagi umat Islam memiliki akal budi dan akhlak yang tinggi kerana indahnya Islam bukan sahaja pada amal ibadah tetapi juga melalui tingkah laku dan akhlak umatnya.

“Oleh itu, isu berkaitan perkahwinan warganegara Malaysia di India yang tular di media sosial baru-baru ini hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan, apatah lagi ia melibatkan hubungan di antara agama, kaum malahan dua negara.

“Marilah sama-sama kita merafakkan doa ke hadrat Allah S.W.T agar wanita tersebut dan pasangannya sentiasa dalam peliharaan Allah jua dan diberikan petunjuk untuk menyelesaikan isu ini dengan cahaya keimanan dan hidayah Allah S.W.T,” titah baginda.

Setakat ini, berita melaporkan bahawa wanita itu telah melangsungkan perkahwinan dengan Kapten Pasukan Hoki India, Manpreet Singh Pawar di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab, India baru-baru ini.

Namun, pemakaian dan upacara diikuti kedua pasangan yang didakwa merupakan ritual perkahwinan agama Sikh sebagaimana gambar dan video tersebar telah menimbulkan tanda tanya warga net khususnya.

Terdapat juga pihak yang menyemarakkan perkara ini apabila diheret ke kancah politik apabila dengan cepat melabelkan ia sebagai isu murtad dan mengaitkannya sebagai kegagalan PAS selaku antara parti pemerintah.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Negara, Senator Ustazah Asmak Husin memaklumkan bahawa beliau mendapat maklum balas dari pihak wanita itu yang mengaku masih beragama Islam dan suaminya juga telah memeluk Islam.

Beliau yang juga seorang peguam mengakui dalam pengalamannya banyak menemui kekeliruan ramai pasangan mualaf berkenaan beza antara budaya dan agama hingga menyebabkan terjadi perkara-perkara sedemikian.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan akan memanggil wanita itu untuk mendapatkan penjelasan mengenai status agamanya sebaik sahaja kembali ke tanah air.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, laporan siasatan meliputi semua sudut itu akan dipersembahkan kepada Sultan Johor terlebih dahulu selaku Ketua Agama Islam Negeri Johor.

Beliau berkata selepas itu, pihaknya akan menyerahkan laporan siasatan itu kepada Kementerian Luar yang menunggu maklumat rasmi daripada pihaknya berhubung isu berkenaan.

“Kita perlu melakukan siasatan secara berhati-hati dan teliti bagi mengelakkan isu ini daripada memberi kesan yang buruk kepada hubungan masyarakat beragama di negara ini,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.
 
Beliau dalam masa sama menasihatkan orang awam terutama masyarakat beragama Islam supaya bersabar serta tidak menimbulkan tafsiran negatif berhubung isu berkenaan dan serahkan kepada JAINJ untuk menyiasat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim ketika mengulas isu tersebut menyedari bahawa PAS cuba dijadikan tumpuan secara persepsi kononnya tidak mempertahankan akidah wanita berkenaan.

“Apabila ada yang membabitkan kepentingan agama, akidah Islam, (maka) PAS-lah yang (dilihat) akan perjuangkan dan pertahankan. Dari satu segi ia satu muhasabah besar bahawa itulah harapan rakyat kepada PAS.

“PAS mesti sentiasa siap siaga membela agama selain ke hadapan dalam soal membela rakyat, berada di arus perdana usaha membangunkan negara.

“Sekalipun dalam isu ini semua tersentak sebenarnya tidak tahu hujung pangkalnya kerana kejadian berlaku di luar Malaysia. PAS pun tidak mahu secara melulu tanpa usul periksa menyatakan yang tidak tepat kerana isu sebegini amat sensitif,” ujarnya.

Sementara itu menurut Kolumnis HarakahDaily, Mohd Nasir Abdullah, PAS tidak pernah memandang ringan berkenaan murtad di mana semenjak dahulu sehingga kini, tidak pernah mahu umat Islam murtad.

Tegasnya PAS konsisten menentang dan tidak pernah direkodkan bahawa PAS bersetuju dengan keluarnya seorang Muslim daripada agama Islam ini sebagaimana cuba dituduhkan sesetengah pihak untuk mempolitikkannya.

“Setelah gagal dalam perjuangan membuktikan nombor sokongan dalam Parlimen, kecewa kerana PAS masih mendapat jawatan Exco di Perak, bertahan kukuh di Kelantan, bergerak maju di Terengganu, menampan serangan musuh di Kedah, hati musuh mana yang tidak sakit?

“Maka isu yang dikatakan kononnya seorang wanita Islam telah murtad berkahwin dengan seorang Sikh di India, telah dijulang dengan mengaitkan PAS. Kali ini dengan alasan bahawa PAS sudah berada dalam Kerajaan Pusat.

“Rupanya di mata musuh, PAS kelihatannya begitu berkuasa dalam kerajaan bagi semua perkara. Dengan satu petikan jari, PAS dapat lakukan segalanya? Bagaikan tiada halangan. Jika PAS sebegitu berkuasa, saya akan cadangkan pertama-tamanya supaya DAP diharamkan dahulu, agar aman hidup rakyat Malaysia.

“PAS dituduh lagi, tidak mampu menghalang murtad itu melalui Duta Khas ke Timur Tengah. Ini adalah kebodohan pertama kerana bukan tugas Duta Khas mengejar orang murtad ke sana ke mari. Keduanya pula, India bukan terletak di Timur Tengah.

“Geografi pun tak lulus, ada hati nak mengutuk orang. Pasal apa tak marahkan Duta Besar Malaysia di India? Atau minta tolong Ramasamy dan Kulasegaran?

“PAS bertindak aktif semenjak dahulu melawan hasrat bukan Islam untuk menukarkan agama orang Islam. Profesor Ahmad Ibrahim adalah peguam PAS yang bertindak sangat bijak dalam kes Natrah di Singapura dahulu dalam cubaan menyelamatkan akidah Natrah.

“Walaupun tewas, tetapi ia memberikan amaran yang amat menakutkan British supaya tidak bermain dengan api agama. Ini bagi kebodohan kedua pembenci PAS,” bidasnya yang bekerja di Qatar.

Menurutnya, ketika PAS menjadi salah satu komponen BN dalam kerajaan sekitar tahun 1973-1977, PAS telah berjaya menerbitkan buku di bawah Jabatan Perdana Menteri bertajuk Mustika Hadis yang menerangkan berkenaan batas-batas keimanan dan kekufuran.

Sehingga kini katanya, yang diketahui buku itu masih digunakan sebagai bahan bacaan dan rujukan, sekali gus membuktikan komitmen PAS ketika menjadi pembangkang dan semasa menjadi kerajaan.

“Masih ingat lagi kes Tun Salleh Abbas yang memberikan kemenangan kepada seorang remaja Cina yang mahu memeluk Islam, tetapi masih di bawah umur pada 1988? Ya beliau bertindak dengan bijak sekali membawa kes, menyelamatkan akidah Nur Aini yang sebelum itu bernama Suzie Teoh.

“Isu ini dikatakan sebagai antara alasan beliau dipecat. Tun juga adalah dari PAS, pernah menjadi Exco bagi Kerajaan Negeri Terengganu 1999-2004. Tahu tak kes Aisyah Bukhari, Linda Joy dan Hartina Kamaruddin? PAS melalui peguam PAS ketika itu telah melibatkan dirinya secara aktif.

“Melalui ceramah-ceramah, PAS mengupas akan isu ini sekali gus memberikan kesedaran kepada umat Islam tentang murtad. PAS kekal relevan sebagai kumpulan yang memperjuangkan Islam di Malaysia.

“Sedangkan pimpinan-pimpinan parti lain pula mengeluarkan kenyataan berlembut dengan golongan kafir,” sindir beliau.

Tambahnya, hasil daripada serangan akidah yang hebat berlaku dalam negara ini, PAS melalui NGO telah menubuhkan Front Bertindak Anti Murtad (FORKAD) sekitar tahun 2004. – HARAKAHDAILY 21/12/2020