MARDI bangun aplikasi bantu petani, penternak, nelayan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aplikasi mudah alih MyPadiManager telah dibangunkan Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi pengurusan penanaman padi yang lebih efisien dan sistematik, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurutnya, aplikasi MyPadiManager yang kini dimanfaatkan 200 pesawah itu menyenaraikan jadual aktiviti penanaman padi serta memberi mesej peringatan mengenai tanaman kepada petani.

- Advertisement -

Aplikasi itu jelas beliau, memberikan gambaran prestasi hasil penanaman padi yang telah dilaksanakan serta membantu petani menetapkan sasaran bagi musim penanaman akan datang.

“Aplikasi ini dapat meningkatkan kadar pematuhan aktiviti penanaman padi mengikut amalan terbaik bagi setiap varietypadi yang ditanam. Pengguna juga dapat menyemak aktiviti yang perlu dilaksanakan dengan lebih pantas dan tepat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pertanian Digital Kebangsaan (DigAc) 2020 di MARDI, Serdang hari ini.

Dalam pada itu, Kiandee berkata, MARDI telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam Malaysian Commercialization Year 2020 yang berlangsung secara dalam talian pada Khamis lepas.

Teknologi Keropok Ikan Empat Segi dan Dulang Pengeringan telah dinobatkan pemenang utama Anugerah Usahawan Sosial dan teknologi baja RealStrong N Bio Booster mendapat hadiah sagu hati bagi Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan.

“Ini membuktikan hasil penyelidikan MARDI amat bertepatan dan inovasi MARDI digunakan secara meluas oleh golongan sasar,” katanya lapor Bernama.

Mengenai DigAc 2020 yang berlangsung secara dalam talian selama tiga hari bermula hari ini, Kiandee berkata sektor pertanian negara perlu lebih agresif untuk mendalami pengetahuan dalam teknologi pertanian digital.

Pada masa hadapan, katanya 70 peratus pengeluaran makanan sangat bergantung kepada inovasi teknologi yang lebih moden.

“Bidang pertanian digital memberi galakan kepada generasi muda untuk terlibat dalam industri pertanian dengan amalan pertanian pintar,” katanya.

MyPadiManager merupakan sebahagian inisiatif MARDI memanfaatkan aplikasi telefon pintar yang seakan-akan berfungsi sebagai pembantu peribadi setiap orang selaras peredaran zaman hari ini di mana boleh dimuat turun menerusi Appstore dan Google Playstore.

Selain menjana teknologi melalui penyelidikan, MARDI memainkan peranan sangat penting dalam melaksanakan aktiviti pemindahan teknologi, kompetensi, pengetahuan dan juga perkhidmatan teknikal melalui pelbagai saluran penyampaian.

Peranti mudah alih merupakan saluran penyampaian yang terbaik segala penyelidikan MARDI kepada stakeholder ketika ini termasuklah petani, penternak dan nelayan, serta para pengguna lain secara umumnya.

Ia sekali gus memenuhi keperluan penyampaian maklumat yang cepat dan pantas dan seterusnya dapat menyokong aktiviti pemindahan dan pengkomersialan teknologi secara terus ke pengetahuan kumpulan sasar terutamanya.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor, pentingnya pihak institusi itu membangunkan aplikasi seumpama adalah untuk menarik golongan muda meminati bidang pertanian dengan menawarkan teknologi yang terkini pada lapangan kerja pertanian.

“Hari ini teknologi telah berkembang pesat dengan kehadiran beraneka aplikasi serta internet of things yang membantu manusia menyelesaikan tugasan harian. Sudah pastilah aplikasi-aplikasi ini mengandungi banyak maklumat yang berguna untuk membantu petani di lapangan, seperti manual yang boleh diusung kemana-mana. 

“Dalam aplikasi ini mengandungi pelbagai maklumat seperti bagaimana menguruskan kaedah pertanian dengan cara yang betul, penggunaan peralatan, benih, racun, baja serta pelbagai lagi yang bersesuaian dengan lapangan.

“Malah pada hari ini, ciri-ciri peranti amat canggih serta tahan lasak boleh digunakan di lapangan tanpa sebarang masalah. Bagaimanapun, pengguna boleh menghubungi pihak yang lebih pakar di MARDI jika terdapat sebarang masalah atau pertanyaan berkaitan pertanian jika maklumat yang berada dalam aplikasi tidak mencukupi,” jelasnya.

Sebelum ini MARDI telah membangunkan beberapa aplikasi lain yang banyak memberi manfaat kepada pengguna di mana pembangunan aplikasi tersebut adalah sejajar dengan fungsi MARDI itu sendiri.

Antara aplikasi tersebut boleh dimuat turun menerus pautan iaitu, MARDI Manual Lebah Kelulut, MARDI MyKonsultan, MARDI Padi Aerob, MARDI Fertigasi Cili, MARDI Fertigasi Melon, MARDI DoktorCili, MARDI Direktori Usahawan, MARDI Cendawan Tiram Kelabu, MARDI Hidroponik salad.

Juga dibangunkan adalah aplikasi MARDI Teknovasi, MARDI MyJagungManager, MARDI OPF, MARDI MYJagung, MARDI MyKompos, MARDI MYOnFarmFruits, MARDI MyPerosakPadi dan MARDI Lembu Brakmas. – HARAKAHDAILY 21/12/2020

- Advertisement -