Korea dilanda wabak demam babi Afrika

SEOUL, Korea Selatan: Pengawasan terhadap penyakit demam babi Afrika (ASF) ditingkatkan berikutan pertambahan jumlah jangkitan membabitkan babi liar dan berpotensi untuk merebak ke ladang ternakan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Sejak Oktober tahun lalu, Korea Selatan telah mengenal pasti 883 kes ASF daripada babi hutan di kawasan sempadan, menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar pada Selasa.

Menurut laporan tersebut, walaupun pagar sudah dipasang di kawasan sempadan, tetapi kesan penyakit itu ditemui dari luar kawasan berpagar di Inje, 165 kilometer ke timur Seoul.

Advertisement

Kerajaan akan menghantar 35 pegawai ke Inje untuk mengesan saki baki babi hutan. 

“Kami meminta pengusaha ladang babi supaya mengikuti panduan pencegahan secara menyeluruh, termasuk meletakkan kapur tohor (kalsium oksida) di sekitar kandang,” kata kementerian itu.

Tahun lalu, negara itu dilanda wabak ASF membabitkan babi tempatan  dan menjejaskan 14 ladang.

ASF tidak memberi kesan kepada manusia tetapi boleh membawa maut kepada babi dan setakat ini belum ada vaksin atau penawar. – BERNAMA