Krisis negara teluk dan keselamatan Israel

- Advertisement -

KESELAMATAN Israel adalah keutamaan paling penting, ini kata kunci kepada dunia Barat dalam menentukan dasar luarnya tanpa mengira siapa yang memimpin sejak era kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah sehingga ke saat ini.

Situasi di Asia Barat tidak lama lagi dijangka akan berubah berikutan kemenangan Joe Biden dalam pilihanraya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.

Ketika ini boleh dikatakan negara-negara utama Asia Barat seperti Arab Saudi, UAE, Mesir, Bahrain dan Israel sudah secara perlahan-lahan sedang mengubah pendekatan mereka dalam mencorak haluan baru geopolitik Asia Barat.

- Advertisement -

Walaupun secara dasarnya ramai penganalisa geopolitik antarabangsa menjangkakan ia tidak akan banyak mengubah haluan kepada mengutamakan Israel, namun jangkaan pendekatan mahupun polisi berbeza yang hampir kepada era Obama yang lebih diplomasi akan diketengahkan oleh Joe Biden dalam usaha untuk mengawal mahupun menangani isu geopolitik di Asia Barat.

Ketika bermulanya era Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2017, pemain-pemain utama geopolitik di Asia Barat kesemuanya mengikut rentak yang dicorakkan oleh pentadbirannya, khususnya peranan yang dimainkan oleh menantunya Jared Kushner, seorang Zionis-Yahudi dalam memastikan keselamatan Israel terjamin.

Jared Kushner

Jawatannya sebagai penasihat tertinggi kepada Presiden dimainkan sepenuhnya demi untuk kepentingan Israel.

Mana-mana negara yang tidak mahu bersama akan dihukum dan ditekan supaya Israel mahupun Amerika Syarikat kekal menjadi dominan di Asia Barat.

Sekutu-sekutu kuat mereka seperti Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan UAE juga dilihat agresif dalam menyempurnakan agenda ini.

Namun dalam usaha menyempurnakan agenda ini, Qatar dilihat sebagai musuh kerana berlainan agenda geopolitiknya yang lebih cenderung menongkah arus melawan kehendak Israel mahupun “Quartet“ negara Arab yang menjadi pendokongnya.

Qatar sememangnya menjadi pendokong kuat perjuangan Palestin, sekutu Turki dan mempunyai hubungan yang agak baik dengan Iran dilihat ancaman kepada agenda ini.

Maka pada 5 Jun 2017, Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir secara berkumpulan telah menggantung hubungan diplomatik serta mengenakan sekatan ke atas Qatar.

Qatar dihalang daripada menggunakan ruang udara dan lautan yang dikawal oleh negara tersebut serta satu-satunya laluan darat yang menghubungkan Qatar disekat penggunaannya oleh Arab Saudi.

Tindakan sekatan ke atas Qatar oleh kumpulan negara-negara tersebut mendapat kecaman daripada banyak negara termasuk PBB yang mengklasifikasinya sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa.

Namun saat ini, “Quartet“ negara Arab yang mendokong sekatan tersebut sedang tergesa-gesa cuba menyelesaikan sengketa mereka dengan Qatar.

Ketika ini, pelbagai perjumpaan dan mesyuarat diatur untuk menyelesaikan sengketa tersebut, semuanya kerana kerisauan pendekatan polisi luar yang akan dibawa Joe Biden bertentangan dengan cita-cita geopolitik mereka.

“Quartet“ negara Arab tersebut tahu jika mereka melakukannya dan ia bertentangan dengan agenda Amerika Syarikat, nasib mereka akan lebih parah dan berkemungkinan akan berhadapan dengan amarah Amerika Syarikat di mana ia mampu merencatkan agenda geopolitik mereka untuk menjadi ‘ketua’ di Asia Barat.

Pastinya, tarikh pertabalan rasmi Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat menjadi igauan buat mereka dan ia perlu diselesaikan sebelum tarikh tersebut.

 Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden

Israel juga saat ini sedang berhadapan dengan situasi yang sama di mana Benjamin Netanyahu ketika ini sedang rancak merobohkan dan menceroboh rumah dan tanah milik penduduk Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Benjamin Netanyahu juga ketika ini sedang berhadapan dengan krisis dalam gabungan parti pemerintahnya di mana seterunya Benny Gantz sedang berusaha untuk menyakinkan Parlimen Israel supaya dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya berlaku yang mana ia dijangka akan menamatkan era pemerintahan Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri Israel.

Kesemua senario di atas dan agenda Israel, Arab Saudi, UAE, Mesir dan Bahrain meletakkan negara-negara tersebut dan pemimpinnya dalam keadaan bahaya kerana mungkin ia adalah penamat talihayat era pemerintahan mereka. Kelihatan saat ini, kesemua pemimpin negara-negara tersebut sedang berusaha keras untuk meletakkan polisi mereka sealiran dengan polisi yang bakal diketengahkan Joe Biden dan barisan pentadbirannya.

Sejarah bermulanya perseteruan “Quartet “ Negara Arab dengan Qatar.

Apabila bermulanya pelbagai bentuk sekatan dan pemencilan ke atas Qatar pada 2017, alasan utama yang diberikan oleh “Quartet“ negara Arab akan tindakan mereka adalah Qatar menyokong kegiatan pengganas dan memberikan pelbagai jenis bantuan kepada mereka.

Qatar dituduh memberikan bantuan kepada Ikhwanul Muslimin dan HAMAS yang disenaraikan sebagai pengganas oleh negara-negara seterunya serta dikatakan terbabit memberikan bantuan kepada kumpulan-kumpulan separa tentera yang terbabit dalam peperangan di Yaman, Libya serta di Iraq di mana “Quartet“ negara Arab pimpinan Arab Saudi menjadi peneraju kumpulan-kumpulan tentera upahan yang berperang di negara-negara tersebut.

Namun sebenarnya, pertikaian ini bermula sebelum Arab Spring yang berlaku pada awal 2010 ekoran peranan yang dimainkan oleh stesen TV Al-Jazeera yang berpusat di Qatar dalam membangkitkan kebangkitan rakyat menentang regim-regim yang memerintah tetapi mula menjadi tidak terkawal apabila pada Mac 2014, apabila Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir memanggil pulang duta mereka dari Qatar.

Antara Jun 5 -6 Jun 2017, Arab Saudi, UAE, Mesir dan Bahrain telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Insiden tersebut seterusnya berlanjutan kepada sekatan dan pemencilan oleh “Quartet“ negara Arab terhadap Qatar.

Tetapi sebenarnya peranan belakang tabir dan yang menjadi dalang kepada kesemua insiden tersebut adalah Israel dan Amerika Syarikat bertindak sebagai pelindungnya di samping usaha untuk mengekalkan penguasaannya sebagai kuasa dominan di Asia Barat.

Semuanya adalah kerana grand design Israel Raya atau The Greater Israel. Ketika ini dengan perjanjian normalisasi yang diusahakan Donald Trump, jelas kelihatan tujuan utama dikekang dan dipencilkan Qatar.

Qatar disifatkan sebagai penghalang usaha Israel dan “Quartet“ negara Arab pimpinan Arab Saudi menjalankan kerja-kerja licik Israel.

Tindakan yang dikenakan ke atas Qatar ketika itu kemudiannya disusuli dengan pendedahan yang mengaitkan hubungan UAE dengan gerakan Zionis-Freemason.

Sekumpulan penggodam dari Rusia berjaya memintas e-mel dari Yousef al-Otaiba, Duta UAE ke Amerika Syarikat ketika itu yang mengandungi maklumat berkaitan hubungan intim beliau dengan badan pemikir yang mendokong Zionis-Freemason, Foundation for Defense of Democracies (FDD).

Pendedahan dokumen sebanyak 55 muka surat dalam email tersebut antara lain menyebut penglibatan UAE terhadap cubaan rampasan kuasa di Turki.

Dalam e-mel yang diutuskan oleh penasihat FDD, John Hanna kepada al-Otaiba pada 16 Ogos 2016, beliau menyebut, “Saya kepilkan di sini satu artikel daripada akhbar Turki yang menyatakan kami daripada (FDD) bersama-sama dengan UAE dan lain-lain lagi merancang bagi rampasan kuasa di Turki.”

Dalam e-mel lain pula mendedahkan desakan al-Otaiba supaya Amerika Syarikat menyekat saluran persenjataan kepada Mesir di era Mohamed Morsi menjadi presiden dengan alasan keselamatan. Ini diikuti pula dengan pendedahan hubungan intim antara Al-Otaiba dan bekas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates.

Beberapa hari sebelum pendedahan ini, Robert Gates dilaporkan mengeluarkan kenyataan dalam satu majlis anjuran FDD mengecam polisi luar Qatar. Seterusnya email tersebut juga mendedahkan pakatan antara Amerika Syarikat dan UAE untuk menggagalkan Muktamar HAMAS di Doha, Qatar.

Pendedahan email tersebut mengejutkan banyak pihak dan mendedahkan watak-watak sebenar “Quartet“ negara Arab terutamanya UAE dalam krisis di Asia Barat terutamanya dalam soal Qatar dan pelbagai sekatan yang dikenakan ke atasnya.

Malah di antara sebab lain Qatar diperlakukan sedemikian ialah hubungan akrabnya dengan Turki dan mantan Presiden Mesir Dr. Mohammad Morsi yang menjadi musuh utama “Quartet“ negara Arab dan tentunya Israel.

Strategi pengukuhan Israel, sejarah pemetaan semula Asia Barat

Apa yang berlaku ke atas Qatar sebenarnya adalah strategi pengukuhan Israel sebagai kuasa utama dan perencana geopolitik di Asia Barat.

Qatar dan hubungannya dengan Turki dan Iran dilihat sebagai ancaman kepada rencana Israel.

Mesir telah berjaya dijinakkan hasil daripada kudeta menumbangkan Dr. Mohammad Morsi oleh Abdul Fattah Al-Sisi.

Ia bukan sahaja melibatkan perbalahan dan mewujudkan perseteruan antara negara-negara Asia Barat bahkan lebih daripada itu, iaitu melakarkan satu “grand design” bagi memetakan semula Dunia Islam terutamanya di Asia Barat demi untuk kepentingan Zionis-Freemason bagi mewujudkan Israel Raya dan memperkukuhkan kedudukan Israel sebagai kuasa dominan di rantau tersebut.

Perancangan untuk memecah belahkan Dunia Islam terutamanya di Asia Barat bukan lagi satu rahsia. Qatar hanya sebahagian kecil dari perancangan tersebut tetapi sebenarnya perancangan tersebut sudah wujud sejak sekian lama dan mula dilaksanakan secara berkesan setelah Israel berjaya menakluk Palestin dan diisytiharkan sebagai sebuah negara pada14 Mei 1948.

Setelah kejayaan kuasa barat yang berpaksikan Zionis-Freemason memecah belahkan Dunia Islam era Perang Dunia Pertama dan Kedua melalui perjanjian-perjanjian jahat Sykes-Picot dan Balfour, hasilnya Dunia Islam umumnya dan Asia Barat khususnya berpecah kepada berpuluh-puluh buah negara. Palestin diserahkan kepada British yang berakhir dengan penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.

Fasa kedua pula ialah untuk mengukuhkan kedudukan Israel dan mengekang negara-negara yang menyokong perjuangan umat Islam untuk membebaskan Palestin. Ini berlaku selepas termeterainya perjanjian Camp David, Madrid dan Oslo antara Israel dan pihak-pihak yang bertelagah dengannya.

Perjanjian Camp David pada tahun 1978 antara Mesir dan Israel menyaksikan keselamatan Israel terjamin setelah kekalahannya dalam perang dengan Mesir pada tahun 1973. Hasilnya, permusuhan antara kedua-dua negara ini berjaya dilunakkan dan Israel berjaya diselamatkan.

Perjanjian Madrid pada tahun 1991 pula mengukuhkan lagi keselamatan Israel dari sudut luaran. Jika perjanjian Camp David hanya melibatkan negara Mesir sahaja, perjanjian Madrid melibatkan hampir keseluruhan negara-negara Arab lain kecuali Syria dan Libya.

Perjanjian Camp David kononnya dimeterai untuk mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat namun setelah serangan oleh Iraq pimpinan Saddam Hussein ke atas Kuwait dan seterusnya kemungkinan menyerang Israel dengan slogan Pembebasan Palestin, Amerika Syarikat dan sekutunya bertindak menyekat Saddam Hussein dan menaja perjanjian Madrid yang bertujuan untuk menjamin keselamatan Israel agar ancaman seperti Iraq tidak akan berulang pada masa hadapan daripada negara-negara Arab lain.

Perjanjian Oslo pada tahun 1993 pula menyaksikan Israel mengukuhkan cengkamannya dari sudut dalaman dengan menundukkan PLO pimpinan Yaseer Arafat.

Ia secara tidak langsung satu pengiktirafan kepada negara haram Israel daripada pihak penentangnya dari kalangan nasionalis Arab.

Ternyata perjanjian normalisasi yang berlaku saat ini adalah lanjutan dari perjanjian-perjanjian yang diusahakan pada masa lalu yang bertujuan untuk menjamin keselamatan Israel serta mengekalkan penguasaan Amerika Syarikat ke atas geopolitik Asia Barat.

Sebarang usaha penentangan akan di ‘neutral’ kan oleh Israel dan Amerika Syarikat dan ternyata dekad ini, Qatar adalah ancaman kepada agenda penguasaan Israel di Asia Barat.

Penabalan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat adalah satu rahmat buat Israel kerana beliau adalah penerus agenda Zionis yang telah lama tertangguh.

Namun kekalahan Donald Trump adalah igauan ngeri buat Israel walaupun keselamatan dan kewujudan Israel masih terjamin.

Qatar sudah berupaya tidur lena selepas ini kerana kekalahan Donald Trump membawa kepada ‘kemerdekaan’ mereka tidak lama lagi.

Qatar sebenarnya adalah “kambing hitam” kepada perjuangan Palestin dan agenda perluasan kuasa Israel di Asia Barat yang dijalankan oleh pendokongnya dari kalangan “Quartet” negara Arab.

Umat dan Dunia Islam wajar menjadikannya pengajaran iaitu apabila berseorangan kita lemah, apabila bersatu padu kita kuat dan mampu mengharungi semua masalah dan rintangan. Jadikan apa yang berlaku di Asia Barat sebagai panduan dan pedoman.

Saat ini, musuh-musuh Islam memerhati dan menunggu peluang untuk merobohkan dan menghancurkan kesepakatan dan perpaduan. Jangan termakan dengan hasutan dan tohmahan, fitnah itu mainan dan makanan untuk mengancurkan kesatuan dan perpaduan ummah.

Jadikan Islam sebagai asas mahupun teras perpaduan serta penyatuan. Islam adalah lambang keagungan umat dan Dunia Islam. Lemah Islam, lemahlah umat dan Dunia Islam. Semoga kita semua mampu serta akan berjaya memartabatkan Islam demi untuk kelangsungan ummah dan seluruh Dunia Islam.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi,
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat,
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 12/12/2020

- Advertisement -