Mimpi Raja Mesir ditafsir Nabi Yusuf A.S

7 ekor lembu gemuk dan 7 ekor lembu kurus. 7 musim subur dan 7 musim kemarau.

- Advertisement -

IA MENGENAI mimpi Raja Mesir. Kisah ini Allah nukilkan di dalam al-Quran, surah Yusuf, satu-satunya surah yang bercerita mengenai seorang Nabi dari kecil hingga dewasa. 

(1) Dalam mimpi Raja Mesir, beliau melihat 7 ekor lembu gemuk dimakan oleh 7 ekor lembu kurus.

(2) Dipanggil seluruh ahlil-nujum satu negara untuk mentafsir mimpi tersebut dan tiada seorang pun dapat berikan tafsiran yang tepat. 

(3) Sehinggalah sampai pengkhabaran kepada Raja Mesir mengenai seorang banduan daripada penjara Mesir yang pandai mentafsir mimpi. 

- Advertisement -

(4) Tidak lain tidak bukan, orangnya ialah Nabi Yusuf A.S. Nabi Yusuf dipanggil oleh Raja Mesir untuk mentadbir mimpi tadi. Nabi mentafsirkan bahawa negara Mesir akan hadapi 7 tahun musim subur dan 7 tahun musim kemarau.

(5) Nasihat Nabi Yusuf, tinggalkan separuh gandum yang dituai selama 7 tahun pada tangkainya. Ia untuk kegunaan di musim kemarau.

(6) Ibrah (iktibar) yang boleh kita ambil ialah, ketika ekonomi dalam keadaan baik, banyakkan simpanan. 

(7) Dan ketika gawat, simpanan (dalam konteks Mesir ialah gandum) amat diperlukan. 

7 Pengajaran, iktibar dan persoalan

(1) Jika zaman Nabi Yusuf, gandum sebagai komoditi utama yang dijadikan bekalan. Apa pula yang boleh disesuaikan pada zaman sekarang? Emas? Tunai? 

(2) Pada saya, ialah apa sahaja yang tahu boleh convert kepada tunai dengan segera. Tidak semestinya wang tunai di bank. Ia boleh jadi emas. Ia boleh jadi saham. Ia juga boleh jadi Unit Trust. Semua ini ialah aset mudah cair. Semua ada risiko tersendiri, termasuk simpanan. Jadi, strategi terbaik adalah dibersified. Pelbagaikan. 

(3) Jika zaman Nabi Yusuf, rakyat Mesir beruntung sebab Raja Mesir dapat petunjuk melalui mimpi baginda. Kita sekarang di Malaysia hendak tunggu mimpi siapa? TSMY? DSNR? TZ? TM? TGHH? AMR? 

(4) Jika Raja Mesir membawa Nabi Yusuf dari pintu penjara ke singgahsana istana untuk menjaga hal ehwal ekonomi, hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa Tengku Zafrul dari pintu bank ke kerusi menteri untuk menjaga Kementerian Kewangan.

(5) Kerajaan Mesir sudah berikan signal untuk rakyat menyimpan gandum sepanjang tempoh musim subur supaya tak kebulur ketika musim kemarau.

Kerajaan Malaysia tak bagi signal ketika musim subur dulu pada zaman Tun M, Pak Lah, DSNR dan kemudian kembali kepada Tun M. Tapi yang pastinya ketika musim ‘kemarau’ ini banyak ‘gandum’ yang telah disimpan lama mula diagihkan melalui moratorium, pengeluaran KWSP, Bantuan PRIHATIN, projek PENJANA dan sebagainya.

(6) Rakyat Malaysia perlu ambil iktibar. Bukit yang ditarah setiap hari lagikan akan rata. Gandum yang diberikan setiap hari pun tak mustahil akan habis.

(7) Menjelang 12 Disember, banyak jualan murah dijalankan. Belanja dengan berhemah. Jadi pengguna bijak, bukan pengguna terpijak. Jangan beli semata sebab ada peluang tapi beli sebab ia memang kita cari.

Kena bersedia untuk menghadapi situasi yang lebih teruk dan lebih buruk. Zaman Nabi Yusuf, tempohnya 7 musim. Malaysia? Wallahuallam.

AFYAN MAT RAWI – HARAKAHDAILY 10/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -