Culik ahli perniagaan, penjenayah mahu tebusan RM2 juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Enam individu direman selama 10 hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kes culik seorang ahli perniagaan dan isterinya di Jitra, Kedah pada 30 November lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua suspek berumur lingkungan 24 hingga 58 tahun ditahan antara 1 hingga 4 Disember lepas.

Beliau berkata kedua-dua mangsa diculik di rumah mereka di Jitra dan dibawa ke sebuah lokasi lain di Kedah sebelum penculik meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta.

- Advertisement -

Katanya pada 1 Disember lepas, kedua-dua mangsa dibebaskan selepas keluarga mereka membayar RM250,000 kepada penculik meskipun baki wang tebusan yang diminta tidak dapat dilunaskan.

Huzir berkata keenam-enam suspek berjaya diberkas hasil operasi memburu mereka selama empat hari bermula 1 Disember lepas.

“Dalam penahanan mereka ini, polis juga merampas sejumlah wang tebusan dan barang kemas yang dibayar kepada penculik oleh keluarga mangsa,” menurutnya dalam satu kenyataan semalam. – BERNAMA

- Advertisement -