PAS bincang isu pembentukan Kerajaan Perak, esok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pucuk pimpinan PAS akan membincangkan isu pembentukan kerajaan baharu negeri Perak bagi menentukan sama ada parti itu akan terlibat atau sebaliknya, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kita akan bincang,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditanya mengenai pendirian PAS berhubung penubuhan kerajaan baharu Perak sebagaimana lapor Bernama.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu ditemui selepas melawat kawasan hakisan pantai di Pantai Pengkalan Maras, Kuala Nerus, hari ini.
 
Terdahulu beliau juga berkata, beberapa perkara perlu dibincangkan terutama membabitkan kerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

“PAS sendiri tidak dibawa berbincang lebih awal oleh Umno mengenai usul itu. Apa pun PAS yakin akan ada jalan penyelesaian yang akan diambil oleh Umno berkaitan isu itu.

“PAS sendiri telah buat kenyataan rasmi berkaitan perkara itu,” ujarnya merujuk kenyataan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan susulan keputusan usul undi percaya ke atas Menteri Besar dalam persidangan DUN Perak, kelmarin.

Perkara tersebut dinyatakannya kepada media selepas melawat beberapa taman perumahan yang terjejas akibat banjir di Wakaf Stan, Kubang Kerian, semalam.

PAS akan mengadakan mesyuarat di peringkat parti itu Isnin esok bagi membincangkan kemelut politik yang berlaku di Perak selepas Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti menerusi usul undi percaya tersebut.

Dato’ Tuan Ibrahim menyatakan, perkara paling diharapkan adalah agar kerajaan negeri bakal dibentuk itu bukannya kerajaan yang dikuasai Pakatan Harapan di mana terdiri daripada DAP, PKR dan PAN di Perak.

“Ia harus kekal di bawah Kerajaan PN. Ini perlu dijaga dan kalau ada apa masalah perlu ada perundingan bersama. Apa pun saya perlu menghormati Umno dan yakin parti itu ada jalan penyelesaian,” ujarnya.

Sebelum ini, Takiyuddin menyatakan PAS tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu selepas Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri pada Jumaat itu. 

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata beliau yakin Umno akan terus mempertahankan gagasan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk kedua-dua parti berkenaan di sebalik kemelut politik di Perak.

“Saya dengar kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seboleh mungkin beliau mengatakan akan menjaga dan mempertahankan MN,” katanya.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Ahmad Zahid hari ini yang tidak menolak kemungkinan Umno dan Barisan Nasional akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan termasuk DAP, bagi menubuhkan kerajaan baharu di Perak. – HARAKAHDAILY 6/12/2020

- Advertisement -