Dukunglah perpaduan, usah diketepikan undang-undang

- Advertisement -

KAMI di peringkat Pemuda Dewan Himpunan Pendukung PAS Malaysia mengambil maklum kritikan panas oleh pihak MIC berhubung beberapa isu yang berlaku di Kedah. 

Pemuda PAS mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pemuda-pemuda di gabungan Kerajaan PN. Isu-isu seperti perobohan kuil yang dikatakan berusia 30 tahun itu perlulah diselesaikan dengan berpandukan pada fakta dan rundingan dengan pihak yang terlibat. Ianya tidak perlu dijadikan sebagai isu perkauman atau menyentuh sensitiviti keagamaan. 

- Advertisement -

Serangan ke atas YAB Menteri Besar (MB) Kedah juga tidak berasas kerana beliau hanya melakukan tugas beliau dengan mengambil kira pandangan dari pelbagai sudut untuk kepentingan bersama penduduk Alor Setar dan rakyat Negeri Kedah. 

Kebebasan beragama adalah dijamin oleh Perlembagaan Malaysia, tetapi perkara itu juga perlulah mengikut undang-undang yang termaktub dalam sesuatu Perlembagaan. Ini juga termasuk untuk pembinaan surau dan masjid seperti yang dikatakan oleh YAB MB bahawa Kelulusan diberikan mengambil kira jumlah anak qariah yang sesuai untuk membina satu masjid. Ini menunjukkan YAB MB berlaku adil kepada semua kaum dan agama di Negeri Kedah. 

Rakan saya dari Parti MIC juga seorang peguam yang berpengalaman, MIC boleh membawa perkara untuk bersemuka dengan MB Kedah dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan malah boleh membawa ke Mahkamah jika mereka berpendapat perkara ini melanggar undang-undang.

Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas MB Kedah dan PAS adalah tidak berasas sama sekali. Tuduhan seperti PAS menyokong pengganas di luar negara oleh Presiden MIC amatlah tidak matang dan hanya menyalakan api kemarahan di kalangan penyokong PAS dan kebencian terhadap MIC. Malah beliau turut mengkritik YAB MB Kedah bukanlah seorang ‘senior politician’ dan membuat keputusan tidak matang amatlah tidak berasas.

Dalam isu ini juga, DAP pula ‘jangan menangguk di air yang keruh’ dalam mengapi-apikan isu sensitif ini. Perkara sebegini pernah berlaku di bawah pimpinan Pakatan Harapan dan gagal diselesaikan oleh pimpinan mereka yang bergelar Menteri ketika itu sehingga mengakibatkan Allayarham Adib terkorban dalam rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Selangor. 

Seruan saya kepada kita semua supaya sebagai rakyat Malaysia tidak harus menanam sifat kebencian di antara kaum demi meraih sesuatu yang tidak berasas dan sebagai anak muda kita perlu bersatu dalam mengharmonikan Malaysia.

BALENDRAN BALASUBRAMANIAM
Ketua Pemuda DHPP Pusat
EXCO DHPP Muda DPPM – HARAKAHDAILY 5/12/2020

- Advertisement -