Apa salahnya pergi ke Marang?

- Advertisement -

SAYA ini penggemar Hadis tetapi tidaklah gemar kepada seseorang yang dikatakan ‘pakar Hadis’. Orang yang menjulang Hadis dan sayangkan Nabi S.A.W sepatutnya tiru gaya dakwah Nabi S.A.W tetapi lain pula dengan ‘pakar Hadis’ ini. Walaupun beliau ini digelar ‘pakar Hadis’ oleh penyokongnya, facebook pagenya itu tidaklah semua berkisar kepada ilmu Hadis. Ada juga unsur-unsur ‘kata periuk belanga hitam’.

Kali ini apabila membaca hantaran facebooknya, saya tertanya-tanya kepada siapakah beliau tujukan status itu. Selalunya ‘pakar Hadis’ ini apabila mahu menyindir dan memerli seseorang, beliau akan sertakan screenshot dari tulisan orang tersebut atau memetik terus nama si polan, tetapi kali ini lain pula teknik sindirannya. Setelah bertabayyun, ternyata status itu ditujukan kepada Presiden PAS. Mungkin atas dasar hormat, beliau tidak screenshoot ‘kalam TGHH’ sebaliknya memberi ayat berlapik menyatakan kesediaan berdebat atau berdialog dengan TGHH.

- Advertisement -

Walaupun cabaran debat atau dialog itu kelihatan berlapik, saya hairan juga mengapa orang muda seperti ‘pakar Hadis’ ini seperti menghidap ‘penyakit kronik debat’ hinggakan orang yang lebih tua darinya pun diajak debat. Bukanlah menjadi kesalahan apabila mengajak orang yang lebih tua atau sesiapa saja berdebat tetapi orang yang diajaknya kali ini ialah insan yang tidak pernah usik batang tubuhnya apatah lagi mengajak berdebat.

TGHH itu berusaha keras mengajak masyarakat ke arah Penyatuan Ummah manakala ‘pakar Hadis’ ini pula suka menimbulkan polemik yang mengheret masyarakat ke arah perdebatan yang tidak sihat. Inilah bibit-bibit yang membawa kepada perpecahan umat. Perkara sebegini tidak bagus untuk masyarakat.

Saya bukanlah orang yang anti debat tetapi bagi saya untuk berdebat dengan ‘pesakit kronik debat’ lebih baik tidak payah. Ianya membuang masa tambahan pula ‘pakar Hadis’ ini pernah ada track record mengajak atau menyahut saranan debat dengan ilmuwan lain tetapi akhirnya berkong kali kong dengan alasan sibuk dan jadual yang padat.

Saya membaca sehingga habis apa yang ditulis TGHH dan boleh memahami apa yang ingin disampaikan. Tetapi jika ‘pakar Hadis’ yang ada PhD gagal faham tulisan itu, nasihat saya pergilah ke Marang. Tak perlu pun sampai berdebat. Sekarang sudah boleh rentas negeri. Semasa PKP yang semua orang sepatutnya duduk rumah pun ‘pakar Hadis’ boleh gagahkan diri keluar dan berkumpul dengan kawan-kawan di suatu pejabat atas alasan ‘dijemput’, sementelah pula sekarang tiada halangan. Setakat bising di facebook jawapan tak dapat, keuntungan kepada Islam pun tidak ada. Yang ada ialah perpecahan dan kekeliruan.

SHARIFAH T.A
14 Jun 2020 – HARAKAHDAILY 14/6/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -