PM seru guna aplikasi MySejahtera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia memanfaatkan serta menggunapakai aplikasi MySejahtera yang telah dibangunkan kerajaan.

Katanya, ia bagi membolehkan rakyat Malaysia melaksanakan penilaian kesihatan kendiri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

- Advertisement -

Menurut beliau, aplikasi ini akan membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan yang cepat, tepat dan berkesan untuk mengenalpasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.

“Apa yang penting ialah kita semua mestilah bersedia untuk membudayakan kebiasaan baharu dalam kehidupan kita.

“Ya, adakalanya kita merasakan sedikit sukar untuk mengamalkannya tetapi percayalah setiap kesukaran itu akan disusuli dengan kesenangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, sekiranya rakyat Malaysia terus berdisiplin dan beristiqamah dalam mematuhi garis panduan dan SOP yang ditetapkan, beliau yakin penularan wabak ini akan kekal terkawal sehingga vaksin untuk Covid-19 ditemui.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan atau lokaliti yang berkenaan.- HARAKAHDAILY 7/6/2020

- Advertisement -