PAS tempelak kenyataan bekas PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menempelak kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa orang Melayu sekarang menjadi bacul kerana takut kepada DAP, sehingga sanggup memilih penyangak sebagai pemimpin.

Naib Presidennya, Ustaz Idris Ahmad berkata orang Melayu yang berani melawan DAP adalah Melayu berprinsip, sebaliknya mereka yang bersekongkol serta mengikut telunjuk DAP adalah sebenarnya yang bacul.

- Advertisement -

“Orang Melayu melawan DAP adalah mereka yang berani melawan arus kerana tidak bersetuju dengan konsep yang dibawa DAP serta cubaan parti itu untuk merungkai segala kontrak sosial yang telah disepakati bersama selepas kemerdekaan.

“Mereka yang sebenarnya bacul adalah Melayu minoriti yang masih bersekongkol dengan DAP dan mengikut telunjuk parti itu semata untuk kuasa sementara.

“Sedangkan DAP pula sedang merancang untuk berkuasa dalam jangka panjang,” katanya kepada HarakahDaily.

Terdahulu, Tun Mahathir menyatakan rasa malu apabila ramai Melayu percaya DAP akan menghancurkan bangsa berkenaan sekiranya parti itu berada dalam kerajaan Malaysia dan menyifatkan tindakan orang Melayu itu adalah ‘bacul’.

Menurutnya Idris yang yakin bahawa Tun Mahathir lebih mengenali tindak tanduk DAP setelah 22 bulan memerintah negara bersama dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya lagi, PAS bersama Umno dan majoriti orang Melayu di negara ini berani menentang DAP kerana mempertahankan kedudukan Islam dan hak orang Melayu yang cuba dileraikan oleh DAP.- HARAKAHDAILY 15/5/2020

- Advertisement -