Sah Muhyiddin Yassin PM Ke-8

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin diisytiharkan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelapan setelah mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagaimana diumumkan Istana Negara.

- Advertisement -

Satu surat dikeluarkan menerusi Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsudin menyatakan bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu disahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jelas kenyataan tersebut, ia setelah Baginda mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing termasuk Ahli Dewan Rakyat dari kalangan Bebas.

“Proses ini adalah lanjutan daripada titah Baginda di mana ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas diminta untuk mengemukakan pencalonan nama-nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri,” ujar Dato’ Ahmad Fadil.

Istana Negara telah menerima senarai pencalonan tersebut hari ini menerusi proses kali kedua itu selepas temu bual pertama melibatkan semua Ahli Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

Pelantikan itu juga menurut kenyataan tersebut adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan di mana Baginda juga bertitah proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengahkan.

“Kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama. Seri Paduka Baginda bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir,” ujarnya memaklumkan Tuanku juga menghargai semua pihak terlibat.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan berlangsung di Istana Negara pada esok, Ahad 1 Mac jam 10:30 pagi. – HARAKAHDAILY 29/2/2020

- Advertisement -