G25: Tidak anti-Islam, tapi pertikai institusi Islam?

- Advertisement -

KUMPULAN G25 tidak pernah serik mempertikai dan memperkecilkan pihak berkuasa agama terutamanya JAKIM atau Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia. JAKIM dituduh tidak berperlembagaan. Tidak berperlembagaan bermaksudnya tidak sah dari sudut undang-undang atau pertubuhan haram!

Kalau anda teliti dokumen bertajuk ‘Administration of Matters Pertaining to Islam’ anda akan dapat memahami bahawa agenda G25 adalah untuk merendah-rendah dan melemahkan institusi agama di peringkat Persekutuan.

Mereka menyebut bahawa ‘menubuhkan badan Persekutuan untuk mentadbir Islam adalah tidak berperlembagaan, kerana agama adalah perkara yang di bawah pentadbiran negeri-negeri’ (the setting up of a federal body to administer Islam is unconstitutional since religion is a matter to be administered by the States). Ini adalah tafsiran sempit mereka yang sudah banyak kali dijawab oleh JAKIM dan para ilmuan.

- Advertisement -

Selepas membaca tafsiran sempit itu, kita mengharapkan mungkin mereka akan mencadangkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan JAKIM dan badan agama Persekutuan lain boleh dianggap sah dari sudut perlembagaan.

Tapi, bila anda membaca kesimpulan dan saranan mereka, anda akan faham bahawa tujuan sebenar G25 ialah untuk menggambarkan bahawa JAKIM dan badan agama lain di peringkat Persekutuan wajar dihapuskan, atau sekurang-kurangnya dilemahkan.

Di bawah bab saranan, mereka menyebut secara ringkas cadangan agar dilaksanakan reformasi institusi-institusi agama bagi memastikan bertepatan ia dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Dengan tafsiran sempit bahawa institusi-institusi agama berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan, maka apakah reformasi yang dimaksudkan itu? Adakah mereka ingin mencadangkan agar kerajaan menutup institusi-institusi berkenaan?

Bayangkan, selepas merendahkan, mengkritik, dan membuat tuduhan tidak berasas dengan panjang lebar lebih sembilan muka surat, mereka hanya mengemukakan cadangan umum yang sangat ringkas dalam satu dua muka surat setengah. Apa sebenarnya motif mereka. Mahu membina institusi Islam, atau mahu meruntuhkan?

Kita berharap agar G25 yang memperkenalkan diri dalam laman web rasmi sebagai ‘satu kumpulan orang-orang Melayu berpengaruh’ (a group of influential Malays) itu, tidak berselindung di sebalik kata-kata yang berbelit-belit dalam membuat tohmahan tidak berasas terhadap institusi Islam.

Jika benar mereka tidak anti-Islam, kenapa mereka tidak henti-henti mempertikai keabsahan institusi Islam? Apa motif sebenar mereka?

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
UTMKL – HARAKAHDAILY 20/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -