Politik Sekular VS Politik Islam

- Advertisement -

STATUS saya semalam memanaskan lagi kepanasan PH yang semakin bermandi peluh dalam iklim politik yang semakin tidak nyaman bagi mereka.

Untuk makluman kepada orang yang tidak berada dalam politik Islam. Ada beberapa perkara yang kamu tidak akan faham selagi kamu terbelenggu di bawah tempurung politik Sekular. Ada beberapa konsep yang ada dalam Siyasah Islamiyyah yang tidak ada dalam Siyasah ‘Ilmaniyyah. Antaranya ialah:

(1) Konsep tawakal kepada Allah. Oleh kerana dalam kerangka isme Sekular tiada Tuhan, maka tiada pada mereka tawakal kepada Tuhan.

(2) Konsep yakin. Keyakinan tumbuh dari sebuah kepercayaan yang mutlak kepada Allah yang diimani sebagai Tuhan yang Maha Benar dan Maha Berkuasa. Dalam politik Sekular yang tiada Tuhan maka sudah tentu terlalu asing untuk mereka memiliki sebuah keyakinan. Bagi ahli politik Islam seperti PAS mereka sangat yakin satu masa parti Islam ini akan menang. Kerana itu yang Allah janjikan kepada Islam dan orang-orang Islam.

(3) Konsep jihad. Jihad ialah kesungguhan berjuang demi memenuhi tuntutan Allah. Orang-orang Islam sanggup berkorban dan bahkan sanggup terkorban demi Allah. Oleh kerana parti Sekular tidak dibina di atas dasar tauhid dan iman maka mereka sama kali tidak pernah mengenal erti dan makna Jihad.

(4) Konsep akhirat. Akhirat adalah sebuah alam yang diceritakan oleh Allah dan Rasul sebagai alam terakhir perjalanan manusia. Di sana orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan dianugerahkan syurga dan balasan nikmat oleh Allah. Oleh kerana fahaman Sekular tidak ada Tuhan maka mereka tidak pernah kenal akhirat dengan pengertian yang sebenar dan meyakininya.

- Advertisement -

Disebabkan keempat-empat konsep itu asing bagi ahli politik Sekular maka mereka akan terpinga-pinga bila ahli-ahli politik Islam berbicara:

(1) Kita teruskan perjuangan dengan penuh kesungguhan. Kalah dan menang kita tawakal sahaja kepada Allah.

(2) Kita penuh yakin satu waktu dan saat pasti perjuangan ini diberi kemenangan oleh Allah. Kalaupun 999 kali kita kalah maka yang ke-1000 itu adalah milik para pejuang Islam.

(3) Kita teruskan apa sahaja sumbangan kepada perjuangan ini. Kerana setiap titis peluh dan penat lelah kita adalah jihad yang akan dibalasi Allah di akhirat nanti.

(4) Kalau pun kita tidak menang di dunia namun siapa yang istiqamah dengan iman dan jihad pasti akan diberi kemenangan di akhirat.

Empat ucapan di atas anda tidak akan pernah dengar keluar dari bibir mana-mana pimpinan politik Sekular. Maaf. Saya menulis menurut pandangan saya sebagai Muslim yang insyaAllah komited dengan Islam. Lalu jika anda tidak faham itu bukan salah saya. Anda perlu memahami Islam baharulah anda akan memahami PAS.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 11/2/2020

- Advertisement -