Lupus aset TH Plantation: Tuntut penjelasan Menteri

SAYA ingin menuntut penjelasan daripada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan pihak pengurusan tertinggi berhubung pelupusan dua (2) syarikat milikan penuh TH Plantations Berhad iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MW) kepada syarikat swasta Tamaco Plantation Sdn Bhd. Berdasarkan satu Perjanjian Penjualan Saham (SPA) yang telah dimeterai pada 5 Disember 2019 lalu, jumlah keseluruhan penjualan adalah bernilai RM170 juta.

Advertisement

Saya mengikuti beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh beberapa pihak. Pertama, YB Menteri wajar menjelaskan siapakah jurunilai bebas yang telah dilantik pada tahun 2018 selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan? Mengapakah nilai buku dua syarikat tersebut pada tahun 2017 adalah sebanyak RM380 juta, tapi jatuh merudum kepada RM122 juta sahaja? Walhal, jumlah pengeluaran menunjukkan trend menaik sejak tahun 2014 (27,605 metrik tan) hingga tahun 2018 (52,040 metrik tan).

Kedua, saya minta YB Menteri dan pihak pengurusan tertinggi TH Plantations Berhad menyenaraikan 12 lagi anak syarikat yang akan dilupuskan beserta nilai buku semasa dan jumlah keseluruhan saiz ladang yang telah ditetapkan. Saya berpendapat semua cadangan pelupusan aset THP dibekukan sehingga isu-isu tersebut dijelaskan oleh YB Menteri dan pihak pengurusan tertinggi. Perkara ini melibatkan kepentingan 9.4 juta orang pendeposit Tabung Haji dan kita mahu pihak Kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya kepada hak rakyat.

Sekian, terima kasih.

YB HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
1 Jamadil Akhir 1441 | 27 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 27/1/2020