Ketatkan kawalan di semua pintu masuk negara

- Advertisement -

PENGISYTIHARAN tiga orang warga negara China yang didapati positif Virus Corona (2019-nCoV) merupakan sesuatu yang merunsingkan rakyat negara ini. Lebih membimbangkan lagi apabila ianya berlaku melalui jalan darat pintu masuk negara di Selatan tanah air.

Tambah merunsingkan apabila mereka yang dikesan positif hanya selepas mendapat amaran daripada Kementerian Kesihatan Singapura kerana mempunyai hubungan secara langsung dengan kes yang dikesan di negara tersebut. Bagaimana pula dengan semua penumpang yang berada dalam penerbangan yang sama dengan mereka yang tidak dikesan kerana tidak mempunyai sebarang gejala.

Turut membimbangkan kita apabila laporan daripada jurnal perubatan mendapati sebahagian daripada pesakit tidak mempunyai apa-apa gejala pernafasan ataupun demam, namun imbasan CT paru-paru mereka menunjukkan tanda-tanda Pneumonia yang teruk. Ini memberi isyarat bahawa 2019-nCoV ini boleh merebak tanpa disedari serta jauh lebih mudah daripada Virus Corona yang lain sebelum ini.

Laporan juga mendedahkan terdapat kematian seorang doktor yang terlibat dalam tugas merawat pesakit-pesakit 2019-nCov di Hubei China. Ini amat membimbangkan kerana kakitangan kesihatan juga turut berisiko untuk terdedah kepada jangkitan dan seterusnya boleh membawa maut.

Mengikut pendapat seorang Virologist yang terlibat dalam wabak SARS suatu ketika dulu, turut menyatakan 2019-nCoV adalah tidak terkawal dan berkemungkinan 10 kali ganda lebih serius daripada wabak dahulu.

Justeru, PAS memandang serius bahawa Malaysia perlu menutup pintu kemasukan negara kepada semua warga negara China buat sementara waktu bagi melindungi rakyat negara ini. Segala penerbangan dari wilayah Wuhan dan juga China keseluruhannya perlu ditangguhkan sehingga wabak ini dapat dikawal.

DR. MOHD MAZRI YAHYA
Pengerusi
Lajnah Kesihatan PAS Pusat
25 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 25/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -