Peguam Negara perlu bertindak bebas politik

- Advertisement -

PAS merujuk kepada kenyataan Peguam Negara berhubung kes melibatkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mana rayuannya terhadap sabitan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini.

- Advertisement -

PAS hairan apabila Peguam Negara merasa terkejut setelah mengetahui Pegawai di Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan sedangkan itu adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam jabatan tersebut. Perkara ini turut disahkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali.

Tambah menghairankan lagi Peguam Negara dipetik sebagai berkata beliau telah berbincang mengenai perkara ini dengan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, sedangkan kes ini langsung tiada kaitan dengan pilihanraya mahupun SPR. Maka PAS menuntut penjelasan lanjut Peguam Negara mengenai perkara ini.

PAS seterusnya menggesa agar Peguam Negara sebagai ‘Penjaga Undang-undang’ bertindak mengikut undang-undang dan fakta termasuk tidak mengamalkan Pendakwaan Terpilih. Peguam Negara tidak boleh bertindak atas pengaruh atau arahan mana-mana pihak termasuk ahli-ahli politik tertentu, sebaliknya mesti bertindak ‘tanpa gentar atau memihak’ (without fear or favour).

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS 
Bertarikh: 08 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 8/12/2019

- Advertisement -