PERAK Basketball Association diminta memberi penjelasan kepada seluruh rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan berikutan tersebarnya gambar jersi atlet Perak yang dicetak bendera Negeri secara terbalik di kejohanan Piala Lum Mun Chak MABA /MILO kali yang ke 28 di Stadium MABA yang sedang berlangsung ketika ini. Kejohanan ini yang kita sedia maklum masih lagi panas dengan kontroversi bendera Malaysia yang diubah bentuknya melambangkan agenda tertentu secara terancang.
Penjelasan ini amat diperlukan bagi mengelakkan kekeliruan kepada seluruh rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan yang cukup menjunjung tinggi kedaulatan Bendera Negeri Perak ini.
Terdahulu kita baru dikejutkan dengan kibaran Jalur Gemilang yang terbalik di beberapa institusi swasta dan yang terbaru Jalur Gemilang yang diubah bentuknya, dan kini bendera Negeri Perak pula dicetak secara terbalik.
Perkara ini dilihat bukanlah suatu kebetulan dan yang peliknya, dalam kejohanan yang sama dengan kesalahan yang lebih kurang sama iaitu berkenaan dengan bendera.
Apa yang berlaku ini sangat sensitif, Mana mungkin tidak tahu kedudukan warna bendera Negeri Perak, adakah mereka yang terlibat tidak pernah melukis bendera Negeri sendiri sejak zaman persekolahan?
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menuntut penjelasan yang jelas dan bukan sekadar ucapan maaf yang senang diucapkan, hal ini sangat penting bagi merungkai isu ini demi rakyat Negeri Perak dan Institusi Beraja Perak yang cukup berdaulat di sisi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
AHMAD FAISAL MOHD PUAIT
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 27/11/2019