Anggota Briged dilatih kemahiran kelayakan

- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Kursus Jurulatih Sekolah Briged Muslimat PAS Negeri Perak telah berjaya dilangsungkan bertempat di Kompleks PAS Kawasan Kuala Kangsar selama 3 hari bermula 24 November lalu dan berakhir semalam.

- Advertisement -

Program bertujuan mencungkil bakat dan kemahiran dalam memperlengkapkan jati diri sebagai anggota Briged Muslimat ini telah mendapat seramai 33 peserta dari seluruh kawasan negeri Perak.

Latihan kawad kaki, asas pertolongan cemas dan ikatan antara aktiviti latihan sepanjang kursus berlangsung yang telah dilatih Timbalan Ketua Pengarah Empat Jabatan Amal Malaysia, Zulkifli Mohyidin.

Turut hadir dalam program penutup julung kalinya dibuat di peringkat negeri ini adalah Naib Ketua Muslimat Perak, Husna Saidon dan Ketua Pengarah Briged Muslimat Malaysia, Nuri Mohamad.

“Moga latihan yang diberi dapat dimanfaatkan oleh Briged Muslimat Perak supaya lebih bersedia sebagai pahlawan, benteng hadapan jemaah selepas ini,” ujar Husna Saidon.

Beliau menekankan tanggung jawab setiap Muslimat dalam meletakkan diri masing-masing dalam jemaah dengan ilmu yang secukupnya meliputi kepelbagaian, komitmen dan kekangan masa yang dialami.

“Semoga kita juga mampu mendidik anak generasi selepas ini, erti faham kepada perjuangan dan cinta kepada jemaah. Perjuangan ini bukan sekadar politik tetapi lebih kepada perjuangan akidah yang berteraskan tarbiyah, dakwah dan siasah,” katanya lagi.

Beliau juga mengulas tiga asas harus ada dalam diri sebagai pejuang iaitu bekerja keras, sabar dan harus bijak menangani sebarang permasalahan jemaah yang timbul. 

Di akhir program, Ketua Briged Muslimat PAS Perak, Lylia Zainal Abidin menyeru kepada semua anggota agar dapat menyampaikan segala ilmu yang telah diperoleh kepada setiap anggota lain di peringkat kawasan masing-masing.

Bengkel diakhiri dengan majlis penganugerahan sijil tauliah Jurulatih Sekolah kepada 18 anggota Briged Muslimat yang telah lulus dalam ujian saringan pertama. – HARAKAHDAILY 27/11/2019

- Advertisement -