PSR dibantah, tetapi EIA beri kelulusan?

    - Advertisement -

    KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff bangkit mempersoalkan justifikasi kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) yang diberikan terhadap projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

    - Advertisement -

    Sedangkan katanya, projek tersebut mendapat bantahan banyak pihak yang risau akan impak kerosakan teruk ekosistem alam dan mata pencarian golongan nelayan.

    “PSR satu projek kesan jangka panjang juga sangat besar apabila melibatkan lebih daripada 10,000 nelayan akan terjejas bukan sahaja melibatkan nelayan Pulau Pinang tetapi melibatkan nelayan di Kedah, Perlis dan Perak,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika bangkit meminta penjelasan daripada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Bagaimanapun dimaklumkan bahawa Laporan EIA terhadap projek itu telah diluluskan pada 25 Jun tahun ini dengan 72 syarat yang perlu dipatuhi.

    “Namun persoalannya, apakah pihak kerajaan Pulau Pinang dan pemaju akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka gagal mematuhi segala syarat yang ditetapkan?

    “Kalau kita lihat kes tambakan laut di kawasan Timur Laut Henry Gurney menyebabkan kesan mendakan lumpur yang tebal, pupusnya spesis ikan, udang yang menjadi sumber makanan, nelayan hilang pendapatan, banjir dan perubahan alam sekitar.

    “Saya paling bimbang sumber bekalan pasir yang diperolehi. Dimanakah bekalan pasir diperolehi dan apa kesan terhadap kawasan sekitar?” soalnya yang turut dimaklumkan bahawa bekalan pasir diambil di perairan Perak.

    Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Menteri, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pihak bertanggungjawab gagal untuk mematuhi segala syarat yang ditetap. – HARAKAHDAILY 27/11/2019

    - Advertisement -