AUKU kekang hak warga universiti untuk bersuara?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) sering disifatkan sebagai mengekang hak mahasiswa dan ahli akedemik untuk bersuara dan mengkritik serta melibatkan diri secara bebas dalam kegiatan aktivis.

Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata demikian ketika mengambil bahagian membahaskan Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

- Advertisement -

“Apakah komitmen terhadap usaha kerajaan berhubung perkara ini? Apakah respon kementerian terhadap mana-mana sekatan yang dikenakan terhadap ahli akedemik hanya kerana memberikan pandangan akedemik mereka?” soalnya.

Mengambil contoh terkini, kata Latiff, siasatan yang dijalankan terhadap Felo Kanan, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong ekoran kenyataan beliau mengenai sekolah vernakular yang merupakan bidang khusus beliau dalam konteks pembinaan dan perpaduan negara.

Membangkit isu sama, Latif meminta jaminan kerajaan supaya mana-mana pihak termasuk ahli politik dan pemimpin NGO tidak disekat dari memasuki dan menganjurkan program di universiti awam dengan mematuhi arahan pihak pengurusan universiti dan mendapat kebenaran yang dikehendaki.

Beliau mengharapkan adanya usaha penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) kepada perkara tersebut. – HARAKAHDAILY 18/03/2024

- Advertisement -