KUALA LUMPUR: Kerajaan lebih wajar meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi mewajib atau menggalakkan mahasiswa untuk menunaikan kewajipan keluar mengundi.
Menurut Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar), ia lebih wajar berbanding dengan memberi kuasa kepada pihak Lembaga Pengarah Universiti (LPU) untuk mengekal atau memanjangkan tempoh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
“Telah pun dimaklumkan sebelum daripada ini. Kita pun tahu berlaku pilihan raya kampus, peratus keluar mengundi ni rendah dalam kalangan mahasiswa.
“Sepatutnya akta AUKU ini dipinda ke arah untuk menggalakkan ataupun mewajibkan mahasiswa mengundi dalam pilihan raya kampus dan tidak diganggu tempoh MPP tersebut,” ujarnya.
Jelas beliau, dengan memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah Universiti untuk mengurangkan atau melanjutkan tempoh MPP, ia secara tak langsung menafikan hak dan suara mahasiswa yang telahpun mengundi dalam pilihan raya kampus.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu juga senada ramai Ahli Parlimen lain bahawa kebenaran itu boleh terdedah kepada salah guna kuasa.
“Kalaulah MPP yang menang atau pun dilantik itu sealiran dengan pihak Lembaga (Pengarah Universiti) mungkin akan dikekalkan ataupun dilanjutkan (tempoh kuasa).
“Kalau tak sealiran ataupun tak sebulu, mungkin dipendekkan. Jadi ini satu ruang salah guna kuasa boleh berlaku di situ,” ujarnya semasa membahaskan pindaan terhadap AUKU di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, tindakan itu juga menjurus kepada kemungkinan bahawa Lembaga Pengarah Universiti boleh menyekat kebebasan mahasiswa bersuara.
“Kalau bercakap lebih nanti dipendekkan tempoh. Kalau akhirnya dia akan boleh dia akan bodek pihak universiti dan itu tidak sihat tidak menyuburkan amalan politik demokrasi yang yang dipamerkan dalam AUKU ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 18/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!