30 hari mencintai Ramadan

Siti Zailah ketika dalam Tazkirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) di Kuala Lumpur pada hari ini, 18 Mac 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ramadan muncul sebagai bulan buat setiap umat Islam untuk merasai keadaan yang dilalui oleh golongan yang tidak berkemampuan, namun ia perlu benar-benar dicintai sepenuh jiwa dan raga.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, Allah SWT mengajar setiap umat Islam untuk memperbanyakkan amalan sedekah walau apabila amalan berpuasa ini dihayati dengan baik.

- Advertisement -

Menurut beliau, majoriti masyarakat pada hari ini sedang bergelut dengan pelbagai kos sara hidup termasuk membeli barangan keperluan asas.

“Malah saya sendiri tidak boleh bayangkan kehidupan penoreh getah  yang mana (hasil) 1 kilogram sahaja hanya berharga RM3. Saya pernah tanya seorang daripadanya dan dia beritahu boleh dapat 7kg getah dan kalau buat kira-kira 7kg kali dengan RM3, hasilnya RM21.

“Itu tidak termasuk (jumlah itu) kena bahagi dua lagi memandangkan dia kuli orang dan semamangnya tidak lepas untuk membeli barangan keperluan seperti ikan, ayam dan beras; dan oleh sebab itu kita perlu benar-benar mencintai bulan Ramadan dalam tempoh 30 hari ini.

“Bulan yang penuh kemuliaan ini mengajar setiap umat Islam untuk bukan sahaja beribadah untuk diri sendiri semata-mata tetapi juga membantu golongan-golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Tambah beliau, Allah SWT tidak melihat seseorang berdasarkan harta dan kedudukan serta pangkat semata-mata tetapi kepada hati manusia itu sendiri yang sentiasa mengikut cara-Nya iaitu melalui takwa.

Beliau menyatakan, tujuan bulan puasa ini adalah untuk mendidik umat Islam untuk sentiasa lebih bertakwa kepada-Nya memandangkan amalan puasa ini adalah satu-satunya amalan yang diketahui oleh Allah SWT tetapi bukan dalam kalangan manusia lain.

“Bila kita menghayati betul-betul bulan puasa ini sebenarnya Allah SWT mengajar kita supaya lebih menjaga integriti dan amanah antara kita dengan Maha Pencipta.

“Bayangkan dalam sesebuah kerajaan ada Perdana Menteri yang bertakwa, Menteri yang bertakwa dan Penguatkuasa yang bertakwa maka sudah tentu semuanya akan aman,” kongsinya.

Beliau berkata demikian dalam Tazkirah Zohor Ramadan berjudul 30 Hari Mencintai Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) yang diadakan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini, yang juga boleh diikuti melalui Facebook HarakahDaily dan Facebook TV PAS. 

Beliau juga berpesan kepada setiap umat Islam untuk benar-benar mencintai Ramadan, memandangkan ia merupakan bulan yang istimewa dan penuh dengan keberkatan.

Tambah beliau, setiap kali para sahabat Rasulullah SAW menyambut bulan Ramadan dengan penuh meriah seperti masyarakat di negara ini menyambut hari raya dan akan bersedih apabila bulan tersebut mula berlalu pergi.

“Ini kerana para sahabat Rasulullah SAW benar-benar menghayati bulan Ramadan itu sendiri, yang mana kita seharusnya bersyukur kerana masih lagi diberikan peluang untuk masih menyambut bulan yang mulia ini… kerana belum tentu lagi ada dalam kalangan kita akan dapat menyambut Ramadan yang akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!