
KUALA TERENGGANU: Projek tenaga solar terapung di Tasik Kenyir dijangka menyumbang sekitar RM10 juta setahun kepada negeri Terengganu bermula fasa operasi awal, hasil pelaburan strategik melibatkan Terengganu Inc dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Genco.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, projek fasa pertama yang dianugerahkan kepada Cypark Resources Bhd itu melibatkan nilai pelaburan kira-kira RM1.96 bilion dengan kapasiti penjanaan 600 megawatt (MW).
Menurut beliau, projek berkenaan turut dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bateri berskala besar yang mampu menyokong sehingga 1.2 gigawatt (GW), menjadikannya antara projek tenaga boleh baharu paling signifikan di rantau Asia Tenggara.
“Untuk fasa pertama ini, kita jangka sumbangan kepada negeri sekitar RM10 juta setahun. Ia merupakan permulaan kepada beberapa fasa pembangunan yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas Projek Solar Terapung (Kenyir HHFS 595 MWac) Terbesar Asia Tenggara bernilai RM1.96 Bilion, di Wisma TI, di sini, hari ini.
Tambah beliau, projek berkenaan dilaksanakan melalui model usaha sama dengan Terengganu Inc memegang 30 peratus kepentingan ekuiti.
Mengulas lanjut, beliau berkata keseluruhan projek di Tasik Kenyir itu dijangka berkembang sehingga kapasiti 2.5 gigawatt dalam tempoh lima hingga 10 tahun, dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah sekitar RM10 bilion.
Katanya, sekiranya semua fasa dilaksanakan, jumlah pulangan jangka panjang boleh mencapai sekitar RM25 bilion dalam tempoh 21 tahun operasi.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek berkenaan dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan pada fasa pembinaan yang dijadualkan bermula sekitar 2026 dan siap menjelang 2028.
“Impak ekonomi ini sangat besar. Selain pekerjaan, ia turut melibatkan sektor perniagaan kecil seperti makanan, penginapan dan perkhidmatan tempatan,” katanya.
Menurut beliau, tenaga yang dihasilkan bukan untuk kegunaan domestik negeri semata-mata, sebaliknya akan dijual kepada pasaran luar termasuk pusat data di Johor serta pengguna industri lain melalui sistem grid nasional.
Dalam pada itu, beliau berkata projek berkenaan turut membuka potensi besar kepada sektor pendidikan dan pelancongan berasaskan teknologi atau edutourism.
Katanya, konsep solar terapung di Tasik Kenyir berpotensi dijadikan pusat lawatan teknikal dan pembelajaran, khususnya kepada pelajar serta penyelidik dalam bidang tenaga hijau.
“Floating solar ini bukan sahaja projek tenaga, tetapi juga platform pendidikan. Di beberapa negara seperti Thailand, ia sudah menjadi tarikan pelancongan teknologi,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2026




















