PN N9 isytihar sedia jalin kerjasama dengan Umno-BN

Hanifah menyerahkan surat kesediaan bekerjasama kepada Setiausaha Umno Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor.
- Advertisement -

SEREMBAN: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan ADUN Umno-Barisan Nasional bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri serta memastikan kelangsungan pentadbiran berjalan lancar.

Lima ADUN PN tersebut menegaskan bahawa mereka sentiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda utama perjuangan, dalam satu kenyataan pada sidang media yang diadakan sebentar tadi.

- Advertisement -

Mereka ialah ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dan ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad serta ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria dan ADUN Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa serta ADUN Paroi, Kamarul Ridzuan Mohd Zain.

“Langkah tersebut penting bagi memastikan pembangunan Negeri Sembilan terus dipacu dan kesejahteraan rakyat terpelihara di tengah ketidaktentuan politik semasa,” ujar kenyataan dipimpin Hanifah yahg juga Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan.

Mereka berlima telah bersama menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kepimpinan kerajaan negeri yang dikatakan berlarutan sejak beberapa minggu lalu sehingga menjejaskan keberkesanan pentadbiran.

Menurut mereka, krisis berkenaan turut menyebabkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kestabilan kerajaan negeri.

“Situasi ini membuktikan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun gagal menangani kemelut politik secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

“Krisis ini bertambah serius apabila seramai 14 ADUN Umno-Barisan Nasional (BN) dilaporkan sebulat suara hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sedia ada,” ujar mereka.

Pemerintahan Negeri Sembilan sedang menjadi perhatian massa berikutan krisis kritikal melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan Negeri di mana Menteri Besar didakwa telah bertindak mencampuri urusan berkaitan.

Penangguhan Sidang DUN tanpa tarikh baharu turut menguatkan lagi persepsi wujudnya kebuntuan dalam pentadbiran negeri, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelbagai pihak terhadap keupayaan kerajaan negeri untuk berfungsi secara efektif.

Pakatan Harapan (PH) memiliki 17 kerusi dan BN (14) di mana kedua komponen itu telah bergabung membentuk kerajaan campuran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dahulu, manakala PN (5) bertindak selaku pembangkang.

Dengan penarikan sokongan terkini, bermakna Aminuddin tidak memiliki majoriti mudah, sekali gus menimbulkan kemungkinan gabungan baharu dibentuk susulan PN menawarkan untuk bersama BN ketika ini. – HARAKAHDAILY 27/4/2026

- Advertisement -