
KOTA BHARU: Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) dan E-Tuisyen yang dilaksanakan kerajaan negeri menunjukkan petanda awal yang positif apabila seramai 45 pelajar dikenal pasti memperoleh keputusan cemerlang 9A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2025.
Pengerusi Jawatankuasa berkaitan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, penilaian awal dibuat dengan mengaitkan data penyertaan kedua-dua program tersebut dengan keputusan SPM 2025 yang baharu diumumkan.
Menurutnya, daripada 361 respon bagi Program Tuisyen Rakyat Sejahtera, seramai 21 pelajar dikenal pasti memperoleh keputusan 9A dan ke atas.
“Bagi program E-Tuisyen pula, daripada 229 respon yang diterima, seramai 24 pelajar mencapai keputusan yang sama.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 45 rekod pelajar cemerlang yang memperoleh 9A dan ke atas telah dikenal pasti setakat ini,” katanya ketika menjawab soalan dari Mohd Fauzi Abdullah (PAS-Manek Urai) pada Persidangan Kali Yang Pertama (Istiadat Pembukaan Penggal) bagi tempoh Penggal Keempat, Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, di sini, hari ini.
Tambahnya, dapatan tersebut bagaimanapun masih bersifat penilaian awal kerana data yang diperoleh setakat ini hanya melibatkan peserta yang mengemukakan maklum balas dan belum meliputi keseluruhan peserta sebenar.
Katanya lagi, kerajaan negeri akan meneruskan penilaian secara berterusan dan lebih menyeluruh melalui pengumpulan data tambahan serta penyelarasan maklumat peserta bagi memastikan impak sebenar program dapat dinilai dengan lebih tepat dan komprehensif.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan hasil semakan rekod kehadiran pelajar ke kelas TRS yang dijalankan di 24 DUN daripada keseluruhan 45 DUN menunjukkan seramai 1,432 pelajar telah mengikuti program tersebut.
“Peratus kehadiran yang direkodkan ialah sebanyak 77.28 peratus, yang menunjukkan komitmen dan sambutan baik daripada pelajar.
“Antara impak paling ketara kepada keluarga berpendapatan rendah atau golongan B40 ialah program tersebut berjaya meringankan beban kewangan ibu bapa untuk menghantar anak ke kelas tambahan berbayar,” katanya.
Selain itu, katanya, kelas TRS juga dijalankan berhampiran tempat kediaman pelajar di DUN masing-masing, sekali gus memudahkan akses kepada pendidikan tambahan. – HARAKAHDAILY 22/4/2026




















