Hukum buka salun kecantikan muslimat

- Advertisement -

Soalan:

Saya bercadang membuka salun untuk para muslimat yang menyediakan perkhidmatan mencantikkan wajah dan penjagaan badan dan gunting rambut di mana hanya mengambil pelanggan dari kaum perempuan sahaja. Jadi ingin tahu tentang hukumnya di sisi syarak.

- Advertisement -

Jawapan:

Harus hukumnya membuka kedai atau salun untuk kecantikan dan gunting rambut untuk kaum perempuan mencantikkan wajah dan menggunting rambut mereka kerana mencantikkan wajah adalah harus bagi kaum perempuan begitu juga menggunting rambut tetapi hendaklah dijaga batas-batas yang telah ditentukan oleh syarak iaitu:

Yang melakukan kerja mencantikkan wajah itu disyaratkan kaum perempuan kerana haram hukumnya lelaki bukan mahram memegang wajah perempuan dan melihat auratnya kerana ketika mencantikkan wajah atau menggunting rambut sebahagian aurat yang haram dipandang oleh lelaki akan terbuka.

Tidak boleh menggunakan kaedah-kaedah kecantikan yang diharamkan oleh Islam seperti mencukur kening dan menanam susuk dan seumpamanya.

Tidak boleh bersekutu dalam perbuatan dosa seperti pelanggan sudah memaklumkan bahawa rambutnya yang baru nanti akan ditunjukkan kepada lelaki yang bukan mahram seperti model yang mendedahkan auratnya dalam pertunjukan fesyen maka haram pihak salun mengambil pelanggan seperti ini.

Ada pun jika tidak dipastikan sama ada pelanggannya akan menunjukkan rambut kepada mahramnya sahaja atau kepada semua orang maka tidak mengapa kerana kewajipan menjaga batas syarak berkait rambut dan dan solekan itu atas pelanggan. Akan tetapi seeloknya dinasihatkan pelanggannya supaya sentiasa menutup aurat dan menjaga batas-batas syarak.

Tersebut pada himpunan Fatwa Negeri Jordan:

العمل في مجال صالونات التجميل لا حرج فيه لذاته، فهو من قبيل العمل المباح، بل إن تجميل الزوجة لزوجها أمر محبّب شرعاً ومطلوب، وقد لا تستطيع الزوجة فعل ذلك بنفسها، فتحتاج إلى من يساعدها؛ لذلك فإنّ وجود من تتقن هذا العمل أمرٌ حسن إذا خلا من المخالفات والمحاذير الشرعية. والله تعالى أعلم.

Ertinya: “Pekerjaan mencantikkan wajah di salun tiada salah padanya pada zatnya (yakni mencantikkan wajah bukan haram semata-mata). Ia adalah termasuk perbuatan yang harus bahkan mencantikkan wajah untuk para suami itu adalah pekerjaan yang disukai syarak dan disuruh. Dan terkadang para isteri tidak mampu melakukannya maka berhajat ia kepada seorang yang membantunya. Kerana itulah maka sungguhnya ada orang yang dapat melakukannya adalah perkara yang elok dengan syarat sunyi dari perkara bersalahan dan larangan syarak. Wallahua’lam.”

Kesimpulannya, harus puan membuka pusat kecantikan untuk para muslimat sebagaimana soalan dan hendaklah menjaga syarat-syarat yang telah disebut di atas dan para muslimat hendaklah juga mentaati batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak seperti menutup aurat dan tidak menayangkan solekan mukanya yang berlebihan melainkan kepada orang yang halal melihatnya sahaja.

Firman Allah:

وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

Ertinya: “Dan jangan kamu sekalian perempuan berhias sampai jadi seperti perempuan-perempuan jahiliah berhias.” (Al-Ahazab: 33)

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 22/4/2026

- Advertisement -