
KUALA TERENGGANU: Mekanisme sedia ada berkaitan pengurusan bayaran hasil royalti petroleum disifatkan tidak lagi efisien dan wajar diperhalusi semula, kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata, ketika ini hanya kira-kira 48 peratus hasil berkaitan disalurkan terus kepada kerajaan negeri, manakala baki selebihnya diuruskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan dibayar terus kepada pihak pelaksana projek serta perkhidmatan.
“Lebih kurang 48 peratus duit yang pada kerajaan negeri adalah merupakan pendapatan yang diberi terus kepada kerajaan negeri, antaranya untuk pembayaran emolumen.
“Selebihnya, sekitar 52 peratus yang kita jangka sebagai hasil negeri dalam bentuk royalti dipegang oleh pihak MOF dan hanya dibayar berdasarkan tuntutan projek serta program,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di sini, hari ini.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri berdepan kekangan dari segi kawalan kewangan serta pelaksanaan program berikutan setiap urusan pembayaran perlu melalui peringkat persekutuan.
“Contohnya pembayaran penyelenggaraan dan kutipan sampah yang sepatutnya dibayar terus oleh kerajaan negeri kepada syarikat, tetapi dibuat oleh MOF secara terus kepada syarikat terlibat.
“Ini menyebabkan kita berada di luar kawalan sepenuhnya dan tidak efisien kerana setiap urusan perlu melalui proses di peringkat pusat,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, sistem tersebut turut memberi kesan kepada pelaksanaan pelbagai program pembangunan negeri termasuk pendidikan, keusahawanan dan bantuan biasiswa yang bergantung kepada hasil petroleum.
Katanya, proses pembayaran sedia ada juga melibatkan prosedur dokumentasi dan kelulusan yang panjang sehingga menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek.
“Setiap pembayaran perlu melalui voucher yang dihantar ke pihak pusat untuk pertimbangan dan ini menjadikan pelaksanaan program kurang efisien,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat membentuk Kerajaan Persekutuan, beberapa pembaharuan akan dilakukan termasuk menilai semula mekanisme pengurusan royalti petroleum.
“Kita akan perbetulkan semula, khususnya berkaitan kedudukan royalti bukan sahaja untuk Terengganu, tetapi juga Kelantan dan negeri-negeri pengeluar minyak lain,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa PN juga akan merujuk semula kepada tafsiran asal Perjanjian Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang memperuntukkan bayaran royalti lima peratus secara terus daripada Petronas kepada kerajaan negeri.
“Kita mahu kembali kepada perjanjian asal dan memastikan pembayaran dibuat secara terus kepada negeri tanpa melalui saluran lain di Kementerian Kewangan,” katanya.
Tambah beliau, semakan turut perlu dibuat terhadap beberapa tafsiran berkaitan termasuk isu wilayah laut bagi memastikan hak negeri lebih jelas dan terjamin.
“Jadi, saya rasa kita perlu kembali kepada perjanjian asal berkaitan penerimaan hasil ini, di samping meneliti semula tafsiran-tafsiran lain yang selama ini digunakan, termasuk isu tiga batu nautika yang menjadi halangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengiktiraf bayaran itu sebagai royalti.
“Saya fikir satu tafsiran yang lebih tepat perlu dibuat berdasarkan objektif asal Akta Wilayah Laut 2012 dan semangat sebenar akta tersebut.
“Saya percaya sekiranya Perikatan Nasional diberi mandat menerajui Kerajaan Persekutuan pada masa akan datang, kita akan kembali menggunakan istilah asal iaitu royalti, bukannya lagi wang ihsan,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, apabila disebut wang ihsan, pemberiannya boleh dibuat dalam apa juga kadar atas dasar ihsan semata-mata, sedangkan perkara itu berada di luar daripada apa yang telah dipersetujui ketika kerajaan negeri menyerahkan hak penerokaan dan pengeluaran petroleum.
“Perkara ini bukan sahaja melibatkan Terengganu, malah turut berkait dengan negeri-negeri lain dalam negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2026











