RTM hentikan siaran animasi Cleopatra in Space

Susulan kritikan PAS berhubung elemen LGBT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: RTM telah menghentikan siaran sebuah siri animasi televisyen animasi fiksyen sains Amerika Syarikat (AS) selepas meraih kritikan PAS susulan mengandungi elemen LGBT.

Dalam kenyataan dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia, RTM. stesen penyiaran kerajaan itu mengambil maklum pandangan yang dikemukakan berhubung siri animasi Cleopatra in Space.

- Advertisement -

“Siaran (siri animasi) yang dirujuk itu disiarkan stesen TV2 RTM pada jam 9 pagi 18 April dan 19 April lalu.

“Susulan daripada aduan tersebut, RTM telah menghentikan sepenuhnya siaran siri animasi berkenaan.

“Pada masa yang sama siasatan dalaman yang menyeluruh turut dijalankan,” ujar kenyataan itu.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak RTM yang telah memberikan maklum balas untuk menghentikan sepenuhnya siaran siri animasi yang dikaitkan dengan unsur LGBT.

Terdahulu, Harakahdaily melaporkan kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ahmad Yahaya yang menzahirkan rasa kesal susulan tayangan Cleopatra in Space terbitan DreamWorks Animation itu.

Beliau menegaskan isu yang dicetuskan Cleopatra in Space mengulangi kontroversi sebuah lagi siri animasi AS, Santiago of the Seas, terbitan Nickelodeon Animation Studio yang disiarkan di TV2 RTM pada tahun lepas, yang telah digantung siarannya, selepas bantahan yang dibuat, juga susulan mengandungi elemen LGBT.

Sehubungan itu, Ahmad Yahaya dalam kenyataan pada hari ini mengucapkan terima kasih kepada pihak RTM yang telah memberikan maklum balas untuk menghentikan sepenuhnya siaran siri animasi yang dikaitkan dengan unsur LGBT.

“Kebelakangan ini ideologi LGBT menggunakan pendekatan ‘grooming’ yang cukup halus sehinggakan rancangan kanak-kanak menjadi medan serangan halus tersebut.

“Namun, ia tidaklah sesuatu yang mengejutkan kerana perkara tersebut telah dihebohkan lebih awal sebelum ini mengenai pendekatan baharu yang akan dibawa oleh kelompok songsang berkenaan khususnya di peringkat global,” ujarnya.

Menurut beliau, semua pihak harus mengambil tanggungjawab yang serius untuk membendung gejala ini daripada berterusan. Kita semua perlu bersama membentengi generasi akan datang daripada ideologi pemikiran yang merosakkan.

“Semoga segala yang direncanakan mendapat petunjuk dan bimbingan daripada-Nya, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2026

- Advertisement -