Fokus adab, isu rakyat, pelaksanaan titah Sultan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Sallehen Mukhyi (PN–Sabak) menegaskan kepentingan adab dalam perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selain menzahirkan beberapa isu rakyat termasuk kos pertanian, infrastruktur serta pelaksanaan titah Sultan Selangor berkaitan ladang babi.

Beliau menekankan bahawa adab perlu menjadi asas sebelum ilmu dan perlu diamalkan dalam sidang dewan agar menjadi contoh kepada dewan lain.

- Advertisement -

“Ahli dewan perlu mengelakkan tindakan mencelah untuk mengganggu perbahasan, penggunaan bahasa kesat serta penggunaan maklumat tidak sahih termasuk sumber daripada media sosial atau aplikasi pesanan ringkas yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Ahli politik tidak terlalu berpolitik sebaliknya memberi fokus kepada pembangunan rakyat Selangor selaras dengan saranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sallehen turut membangkitkan isu kenaikan harga minyak dan gas dunia yang memberi kesan besar kepada petani, khususnya golongan B40.

Menurut beliau, majoriti petani di kawasan luar bandar bergantung kepada aktiviti bersawah, namun kini berdepan peningkatan kos perkhidmatan pertanian seperti mesin padi dan bajak yang meningkat sehingga 70 hingga 80 peratus.

Beliau menyatakan kebimbangan apabila terdapat petani yang menganggap aktiviti pertanian kini hanya mendatangkan kerugian, sekali gus menuntut perhatian kerajaan negeri untuk menyediakan insentif bagi menampung beban mereka.

Katanya, setiap sumber makanan seperti nasi yang dimakan rakyat melibatkan pengorbanan petani termasuk kos diesel serta peningkatan harga input pertanian.

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh titah Sultan Selangor berkaitan cadangan supaya tidak lagi wujud ladang babi di negeri ini.

Sallehen turut mempersoalkan beberapa kenyataan berbeza pihak tertentu yang menurutnya menimbulkan kekeliruan sama ada mereka menyokong atau menolak titah tersebut.

Beliau turut meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai status pelaksanaan arahan berkenaan, termasuk jumlah ladang yang telah ditutup, yang masih beroperasi serta tempoh masa penyelesaian ke arah matlamat ‘Selangor sifar ladang babi’.

Selain itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) atas tindakan menampal jalan berlubang serta membina bonggol dan lintasan pejalan kaki di kawasan sekolah.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan penambahbaikan tambahan termasuk pemasangan lampu keselamatan di kawasan sekolah serta lokasi kerap berlaku kemalangan seperti persimpangan dan laluan U-turn tertentu.

“Antara kawasan terlibat termasuk persimpangan Bagan Nira dan U-turn Pancang Perdana yang sering berlaku kemalangan,” ujarnya.

Beliau turut meminta kerajaan negeri menaik taraf beberapa jalan ladang yang kini menjadi laluan utama penduduk, termasuk Jalan Ladang Parit 2½ Barat dan Jalan Seri Kenangan di Kampung Pancang Perdana.

Dalam pada itu, Sallehen turut membangkitkan isu penyertaan wakil pembangkang dalam mesyuarat peringkat daerah, termasuk Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan mesyuarat tindakan daerah.

Beliau berkata terdapat kekeliruan apabila permohonan kehadiran pembangkang dikatakan perlu dirujuk kepada pihak tertentu.

Menurut beliau, penyertaan pembangkang penting bagi mendapatkan maklumat tepat tanpa bergantung kepada sumber tidak rasmi, sekali gus memastikan peranan semak dan imbang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menutup perbahasan, beliau menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan menegaskan hubungan antara institusi diraja dan rakyat perlu terus dipelihara.

“Raja dan rakyat tidak terpisah, malah bersama dalam membangunkan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2026

- Advertisement -