Saran RTM perketat tapisan kandungan program TV

Susulan isu elemen LGBT siri animasi Cleopatra in Space

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) disaran memperkukuh proses tapisan kandungan susulan penamatan tayangan siri animasi Cleopatra in Space yang meraih bantahan kerana mengandungi elemen berunsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menegaskan bahawa sebagai penyiar nasional yang dibiayai oleh dana awam, RTM memikul tanggungjawab moral dan sosial yang besar dalam memastikan setiap kandungan yang disiarkan mematuhi garis panduan serta sensitiviti tempatan.

- Advertisement -

“RTM sepatutnya menjadi benteng utama dalam menapis sebarang kandungan yang bercanggah dengan Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Garis Panduan Penapisan Filem.

“Kejadian ini menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan wujudnya kelonggaran atau ‘blind spot’ dalam proses penilaian kandungan antarabangsa, sekali gus memerlukan penambahbaikan segera terhadap unit tapisan sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Menurut beliau, walaupun tindakan pantas RTM menghentikan tayangan berkenaan disifatkan wajar, masih timbul persoalan berhubung kelemahan dalam proses penapisan awal sehingga kandungan tersebut boleh disiarkan kepada umum, termasuk kepada penonton kanak-kanak.

Dalam pada itu, Wan Martina turut menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya normalisasi budaya luar melalui kandungan hiburan, khususnya animasi yang dilihat mempunyai pengaruh besar terhadap pembentukan pemikiran kanak-kanak.

Katanya, kandungan sedemikian berpotensi membawa kepada ‘normalisasi gaya hidup songsang’ secara halus dalam kalangan penonton muda sekiranya tidak ditapis secara lebih ketat dan menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Komunikasi serta pengurusan RTM melaksanakan audit segera terhadap semua kandungan siri animasi dan drama import, sama ada yang sedang atau bakal disiarkan, bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“RTM perlu menjadi contoh teladan kepada stesen televisyen lain dalam memartabatkan identiti nasional serta menjaga sensitiviti agama dan budaya masyarakat,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya prosedur operasi standard (SOP) penapisan kandungan diperketatkan dengan melibatkan panel penilai yang lebih peka terhadap sensitiviti budaya dan agama di Malaysia.

Terdahulu, RTM lazimnya menyiarkan pelbagai kandungan animasi antarabangsa selepas melalui proses penilaian dan tapisan sebelum diluluskan untuk siaran umum, khususnya bagi slot tontonan keluarga dan kanak-kanak.

Cleopatra in Space ialah siri televisyen animasi fiksyen sains Amerika Syarikat yang diterbitkan oleh DreamWorks Animation dan dianimasikan oleh Titmouse, Inc., berdasarkan siri novel grafik dengan judul sama oleh Mike Maihack.

Kontroversi yang dijana siri tersebut menyusuli siri animasi AS terbitan Nickelodeon Animation Studio, Santiago of the Seas yang pernah disiarkan oleh RTM pada tahun lepas, sebelum RTM menggantung siarannya susulan aduan, juga mengenai kandungan elemen LGBT. HARAKAHDAILY 22/4/2026

- Advertisement -