
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu perlu menjadikan pembangunan tenaga hijau sebagai sebahagian daripada strategi utama negeri dalam mendepani cabaran ekonomi dan keterjaminan makanan pada masa depan.
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (PAS-Sura) berkata, tenaga hijau kini bukan lagi isu alam sekitar semata-mata, sebaliknya telah menjadi asas penting kepada kelangsungan sektor pertanian.
“Tenaga hijau bukan lagi sekadar isu alam sekitar. Hari ini ia sudah menjadi isu keselamatan tenaga dan juga keterjaminan makanan. Apabila tenaga tidak stabil, kos pertanian meningkat.
“Bila baja dan bahan input terjejas, pengeluaran makanan turut tertekan. Maka keselamatan tenaga dan keterjaminan makanan tidak boleh lagi dipisahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu yang dilaksanakan kerajaan negeri merupakan langkah tepat dan berwawasan dalam menyediakan asas ketahanan negeri menghadapi cabaran masa depan.
“Ketika orang lain baru mahu panik bila krisis datang, Terengganu sudah lebih awal menyediakan asas untuk bertahan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar kerjasama di bawah blok SG4 diperkasakan bukan sekadar sebagai gabungan politik, tetapi sebagai pakatan strategik melibatkan aspek makanan, tenaga dan kelangsungan hidup rakyat.
“SG4 tidak boleh hanya dilihat sebagai blok politik, tetapi mesti menjadi pakatan strategik untuk makanan, tenaga dan kelangsungan hidup rakyat. Kalau pusat lambat bertindak, negeri-negeri mesti lebih bijak menyusun kekuatan sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan tiga cadangan kepada kerajaan negeri iaitu melaksanakan pakej bantuan kos sara hidup yang lebih bersasar, menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Krisis Ekonomi Negeri, serta menyalurkan hasil dan pelaburan negeri kepada program keselamatan makanan dan peluang pekerjaan rakyat tempatan.
“Rakyat tidak mahu graf yang cantik tetapi dapur mereka kosong. Rakyat tidak mahu laporan yang tebal tetapi hidup mereka makin sempit. Yang rakyat mahu ialah rasa bahawa negeri ini hadir bersama mereka ketika susah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026




















