
KUALA TERENGGANU: Peningkatan kes perceraian di Terengganu yang mencecah 3,810 kes tahun lalu memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan krisis itu terus menggugat kestabilan institusi keluarga di negeri ini.
Zuraida Mohd Noor (PAS-Ladang) berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding 2,798 kes pada 2024 dan 1,802 kes pada 2023, sekali gus menjadi rekod tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
“Malah, statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia meletakkan Terengganu dalam kelompok lapan negeri tertinggi bagi sembilan bulan pertama tahun 2025.
“Ini bukan sekadar angka statistik, ini adalah amaran krisis sosial nasional. Majoriti kes melibatkan pasangan muda dengan tempoh perkahwinan bawah 10 tahun akibat tekanan ekonomi, kegagalan komunikasi dan ketidakstabilan emosi.
“Jika kita tidak bertindak sekarang, kita sebenarnya sedang mempertaruhkan masa depan generasi akan datang,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah mewajibkan pendidikan pengurusan kewangan sebelum perkahwinan selain memperluaskan peluang kerjaya dan keusahawanan kepada golongan muda.
Beliau berkata, modul kursus praperkahwinan juga perlu disemak semula agar lebih praktikal dan selari dengan cabaran semasa.
“Kita tidak mahu melahirkan pasangan yang hanya bersedia untuk majlis perkahwinan tetapi gagal mengemudi rumah tangga,” katanya.
Menurutnya, campur tangan ahli keluarga yang tidak terkawal sering merosakkan keharmonian rumah tangga.
“Sehubungan itu, pendidikan kepada ibu bapa juga perlu dipertingkatkan, selain memperkasakan peranan suami sebagai ketua keluarga melalui modul kepimpinan yang berkesan.
“Dalam masa sama, isu penagihan dadah yang semakin membimbangkan di Pantai Timur. Kerjasama antara agensi perlu diperkukuh melalui sistem intervensi awal yang sistematik bagi membendung anasir yang merosakkan kestabilan rumah tangga ini secara menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026




















