
KUALA LUMPUR: Kerajaan dituntut memberi penjelasan menyeluruh berhubung keberkesanan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilihat masih belum membuahkan hasil pasca dua tahun pelancarannya, meskipun melibatkan anggaran kos pelaburan awam mencecah RM85 juta.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, persoalan itu timbul apabila mekanisme penyasaran subsidi petrol dan diesel kini dilaksanakan melalui inisiatif BUDI di bawah Kementerian Kewangan (MOF) dan bukannya menerusi pangkalan data PADU seperti yang dihasratkan pada peringkat awal.
Beliau menarik perhatian bahawa sehingga 31 Mac 2024, sejumlah 11.5 juta atau 52.6 peratus individu berumur 18 tahun ke atas telah berjaya didaftarkan dalam sistem tersebut di mana diluncurkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024.
“Ketika meluncurkan PADU, Perdana Menteri (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) telah berkata bahawa sistem itu mampu mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi kepada golongan yang benar-benar layak.
“Menurut Perdana Menteri, penyasaran subsidi tanpa pendekatan digital seperti sistem PADU akan menyebabkan golongan ‘maha kaya’ mendapat manfaat daripada peruntukan subsidi kerajaan. Namun setelah lebih dua tahun, hasilnya masih belum kelihatan,” katanya.
Beliau menyuarakan demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengenai peralihan fungsi PADU yang kini akan memberi penekanan kepada aspek pelaksanaan dan peluasan perkhidmatan, khususnya dalam menawarkan analitik data kepada agensi kerajaan.
Syahir berkata, perkembangan tersebut menimbulkan persoalan penting terhadap konsistensi dasar, ketelusan fiskal dan tadbir urus data negara, selain dikhuatiri menjadi petanda berlakunya peralihan haluan apabila tujuan asal PADU berdepan cabaran pelaksanaan.
“Kini, subsidi petrol dan diesel diagihkan melalui ‘pelabuhan’ BUDI, bukan ‘pangkalan’ PADU. BUDI dikendalikan Kementerian Kewangan, dengan akses kepada maklumat penerima bantuan.
“Seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA (Sumbangan Asas Rahmah), serta data percukaian LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) yang sentiasa dikemaskini.
“PADU pula dikendalikan Kementerian Ekonomi, dengan akses kepada data survei dan statistik, serta maklumat peribadi yang perlu sentiasa dikemaskini. Maka timbul persoalan, di manakah silapnya PADU sehingga tersasar daripada tujuan asalnya?” soalnya.
Penolong Setiausaha Agung PAS itu turut melahirkan kebimbangan beliau mengenai aspek birokrasi dan pertindanan bidang kuasa yang mungkin merencatkan pengoperasian perkhidmatan analitik data ingin ditawarkan oleh PADU.
Sehubungan itu, Syahir mencadangkan agar mandat tersebut dijernihkan sama ada kekal di bawah Kementerian Ekonomi atau sewajarnya diletakkan di bawah mandat Kementerian Digital mahupun Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Terserah kepada Kabinet untuk menentukan hala tuju seterusnya. Namun jika dihitung kembali tempoh dua tahun ini, mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan mengalihkan ‘pangkalan’ PADU, dan manfaatkan ‘pelabuhan’ BUDI bagi tujuan penyasaran subsidi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa PADU kini beralih daripada platform pengumpulan dan verifikasi data kepada instrumen perkhidmatan yang menyediakan analisis mendalam bagi membantu agensi kerajaan membuat keputusan lebih tepat. – HARAKAHDAILY 21/4/2026











