
KUALA LUMPUR: Kerajaan dituntut menyatakan ketegasan berhubung dakwaan kewujudan aktiviti ‘mafia korporat’ yang dikatakan semakin membimbangkan serta penglibatan individu kontroversi dalam kontrak strategik negara.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, kebimbangan itu berasas susulan pendedahan terbaharu mengaitkan nama pengasas Bestinet, Aminul Islam dalam cubaan pengambilalihan syarikat NexG Berhad secara tidak sah.
Beliau berkata, isu itu menjadi lebih serius memandangkan NexG sebelum ini mengendalikan kontrak besar kerajaan termasuk pembekalan pasport bernilai RM1.73 bilion serta sistem MyKad, MyTentera dan MyPOCA yang secara keseluruhannya bernilai kira-kira RM2.4 bilion.
“Cerita ‘Mafia Korporat’ dalam negara terus berpanjangan… malah kini semakin kusut dan membimbangkan. Watak demi watak muncul ke permukaan. Terbaharu, nama Aminul Islam menjadi perhatian.
“Ia selepas disebut secara langsung oleh ahli perniagaan, Victor Chin, sebagai individu yang didakwa terlibat dalam jenayah mafia korporat kerana cubaan untuk mengambil alih NexG Berhad secara ‘mafia’,” katanya.
Kenyataan itu dibuat bagi mengulas laporan media antarabangsa dan tempatan baru-baru ini mengenai cadangan kerajaan untuk mempertimbangkan penggunaan sistem pengurusan pekerja asing baharu yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd.
Khairul Nadzir membangkitkan persoalan mengenai status Aminul Islam yang dilaporkan dikehendaki oleh Kerajaan Bangladesh atas dakwaan serius melibatkan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja migran.
“Pada tahun 2024, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan mengesahkan bahawa Malaysia telah menerima permohonan rasmi daripada Kerajaan Bangladesh untuk menahan atau mengekstradisi Aminul Islam bersama seorang lagi individu, Ruhul Amin.
“Namun begitu, dalam perkembangan terbaharu, Menteri Sumber Manusia memaklumkan bahawa kerajaan tidak mempunyai halangan untuk mempertimbangkan penggunaan sistem pengurusan pekerja asing yang dibangunkan oleh Bestinet, tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri,” jelas beliau.
Beliau turut mempersoalkan kerajaan kerana tidak mengendahkan bantahan keras daripada sepuluh Ahli Parlimen PKR yang mendesak agar mengutamakan reformasi buruh tempatan dan mengecilkan peranan syarikat swasta dalam sistem pengambilan pekerja asing.
“Persoalannya, mengapa seolah-olah tiada tindakan tegas daripada pihak kerajaan terhadap individu yang dikehendaki oleh Kerajaan Bangladesh kerana terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja migran?
“Malah, Menteri Sumber Manusia pula ibarat memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap dakwaan daripada Bangladesh serta penglibatan Aminul Islam dalam mafia korporat? Adakah kerajaan memilih untuk bersikap ‘pekak badak’, atau sebenarnya ada sesuatu yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan umum?” soalnya.
Isu ini turut dikaitkan dengan perdebatan mengenai ketelusan Putrajaya dalam menguruskan sistem pekerja asing bagi mengelakkan berulangnya kontroversi lampau seperti kes Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang pernah mengheret kepimpinan tertinggi negara ke muka pengadilan. – HARAKAHDAILY 21/4/2026











