15 peratus: PMX tidak tahu bezakan realiti ekonomi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dilihat gagal membezakan antara statistik dan realiti ekonomi yang bukan sekadar angka pengguna, sebaliknya jaringan kompleks akan merebak ke seluruh sistem.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Prof Dr Haim Hilman berkata, kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim konon hanya sekitar 15 peratus sahaja rakyat terkesan dengan kenaikan harga, bukan sahaja mengundang persoalan.

Sebalik kata Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat itu, mendedahkan kelemahan besar bagi seorang pemimpin negara dalam memahami bagaimana ekonomi sebenar berfungsi.

“Ini bukan isu angka semata-mata, tetapi isu kefahaman asas tentang struktur ekonomi negara. Diesel bukan sekadar bahan api, tetapi nadi utama ekonomi.

“Dalam mana-mana ekonomi moden, diesel bukan digunakan oleh segelintir individu. Ia adalah input kritikal kepada hampir seluruh sistem ekonomi,” kata beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Penggunaan minyak diesel jelasnya, membabitkan pengangkutan rangkaian logistik dan penghantaran, sama ada untuk sektor pertanian, makanan, industri pembuatan dan pembinaan.

Kesan kenaikan itu katanya yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, tidak hanya kepada pemilik kenderaan, tetapi turut melibatkan kenaikan kos setiap peringkat rantaian bekalan.

“Barang tidak ‘terbang’ ke pasar raya. Ia bergerak dengan lori. Lori bergerak dengan diesel. Kesilapan asas, melihat kesan secara ‘direct’, bukan ‘systemic’.

“Dakwaan 15 peratus itu pada asasnya boleh merujuk kepada pemilik kenderaan diesel individu. Tetapi dalam ekonomi, kesan tidak berlaku secara ‘linear’. Ia berlaku secara berlapis,” tegas beliau.

Kata Dr Haim, antara 10 hingga 15 peratus pengguna diesel terkesan secara langsung, manakala 40 hingga 60 peratus kepada entiti
perniagaan yang melibatkan logistik, Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), pengilang dan petani.

Malah kenaikan itu juga jelasnya lagi, amat memberi kesan kepada hampir 100 peratus pengguna dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

“Perkara itu dipanggil ‘kesan pusingan kedua’ iaitu kesan berantai yang sering menjadi punca sebenar tekanan kos sara hidup. Kalau kata hanya 15 peratus yang terkesan, itu adalah satu kenyataan terlalu memudahkan isu kompleks,” bidasnya.

Kenyataan Anwar itu menurut beliau, pastinya boleh mengelirukan rakyat, sedangkan secara realiti, hampir semua rakyat akan terkesan, walaupun tidak memiliki kenderaan.

Peningkatan kos-kos berkaitan kata beliau, akan berpindah kepada pengguna, maka sudah pastilah perlu membayar harga lebih tinggi untuk beras, ayam, sayur, barang runcit, servis penghantaran, dan harga produk pengguna.

“Perkara itu bukan teori tetapi mekanisme asas inflasi. Jika benar hanya 15 peratus sahaja terkesan, mengapa perlu laksanakan bantuan bersasar begitu banyak ke sektor ekonomi?” soalnya lagi.

Dalam pada itu kata Dr Haim Hilman, sebahagian besar daripada ratusan ribu pengguna diesel, masih lagi tidak tersenarai sebagai penerima program bantuan subsidi (BUDI) Madani.

Maka itu ujarnya, bermaksud ramai dalam kalangan peniaga kecil, kontraktor dan pengusaha logistik kecil terpaksa menanggung kenaikan kos tanpa sokongan mencukupi.

“Apabila pemimpin hanya melihat ‘siapa guna diesel’, tetapi tidak melihat ‘siapa terkesan oleh diesel’, maka dasar yang lahir juga akan tersasar.

“Realiti yang tidak boleh dinafikan ialah yang menggunakan diesel mungkin minoriti, tetapi yang membeli barang, makanan dan menggunakan perkhidmatan adalah seluruh rakyat Malaysia.

“Maka menyatakan hanya 15 peratus rakyat terkesan bukan sahaja tidak tepat, malahan ia memberi gambaran seolah-olah kesan kenaikan ini kecil.

“Sedangkan hakikatnya ia menyentuh hampir seluruh struktur ekonomi negara,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu.

Justeru, kata Dr Haim, dalam isu sebesar ini, negara tidak perlukan angka menenangkan, tetapi perlukan pemimpin yang mempunyai kefahaman tepat, jujur dan berpijak pada realiti ekonomi sebenar apabila berbicara dengan rakyatnya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026

- Advertisement -